Juara Piala Malaysia 2021, Kuala Lumpur City dilaporkan telah melanjutkan kontrak empat pemain import mereka bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Menurut perkongsian wartawan The Star, T.Avineshwaran, empat pemain import yang dikekalkan oleh KL City ialah penjaga gol, Kevin Ray Mendoza, Giancarlo Gallifuoco, Romel Morales dan ketua pasukan, Paulo Josue.

Empat pemain ini menampilkan prestasi yang baik pada aksi perlawanan Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam dimana skuad ibu kota memenangi perlawanan dengan keputusan 2-0.

Paulo Josue turut menjadi penjaring pada aksi semalan dimana ketua pasukan itu menjaringkan gol kedua pada minit ke-74, sebelumnya seorang lagi pemain tengah, Zhafri Yahyah membuka tirai jaringan pada minit ke-66.

Selain memenangi trofi Piala Malaysia, tiga pemain import Kuala Lumpur City turut memenangi gelaran individu dimana Romel muncul sebagai penjaring terbanyak dengan 10 jaringan manakala Paulo Josue menjadi penyumbang assist terbanyak selain Kevin Ray yang memenangi clean sheets terbanyak.

Tambah Avineshwaran, selain mengekalkan empat pemain import, Kuala Lumpur dilaporkan bakal menambah kekuatan di bahagian pertahanan apabila mereka mahu mendapatkan khidmat bekas penjaga gol Perak, Azri Abdul Ghani dan bekas pemain Terengganu, Muhammad Mohd Faudzi.

Azri meninggalkan Perak setelah pasukan itu tersingkir ke saingan Liga Premier musim hadapan. Muhammad pula memilih untuk berhijrah setelah beliau tidak mendapat kontrak lanjutan meskipun menampilkan aksi yang baik di bahagian pertahanan Terengganu.

Menjuarai Piala Malaysia bermakna skuad bimbingan Bojan Hodak akan beraksi dalam saingan Piala AFC musim hadapan, mengiringi Kedah Darul Aman yang muncul sebagai naib juara Liga Super musim ini.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia di sini:

Bojan Hodak Beri Kredit Kepada CEO Selepas Memenangi Piala Malaysia

Menteri Besar Kedah Tumpang Gembira Dengan Kejayaan KL City Menjuarai Piala Malaysia 2021

KL City Tak Hirau Reputasi Hebat JDT, Julang Piala Malaysia 2021