Ketua jurulatih Kuala Lumpur City, Bojan Hodak memberi kredit kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab, Stanley Bernard selepas pasukannya memenangi saingan Piala Malaysia musim ini.

Menurut Bojan, Stanley menjadi individu yang memainkan peranan penting dalam perjalanan pasukan memenangi saingan Piala Malaysia dan beliau layak untuk diberikan kredit.

Bojan Hodak
Sumber Gambar: Semuanya BOLA

“Satu perasaan yang pelik, perlawanan yang berakhir dengan keputusan seperti ini, jujur saya katakan. CEO saya menjadi orang yang paling layak untuk menerima kejayaan ini.

“Setahun yang lalu, dia menghubungi dan cuba meyakinkan saya untuk mengambil tugasan ini. Pada mulanya saya menolak pelawaan beliau kerana saya mempunyai perkara lain yang saya mahu lakukan.

“Tetapi akhirnya beliau berjaya meyakinkan saya dan menerangkan apa yang mahu dilakukan. Saya rasa ini tugas paling sukar bagi saya kerana sebelum ini ketika mengendalikan Kelantan dan Johor Darul Ta’zim (JDT), saya mempunyai barisan pemain yang beraksi dalam skuad kebangsaan.

“Tetapi ini pasukan yang hanya mempunyai satu atau dua pemain yang beraksi bersama pasukan negara. Tetapi ini juga satu pasukan yang bekerja keras. Saya telah mengendalikan banyak pasukan, tetapi kali ini kami mempunyai persekitaran yang sangat baik terutamanya dalam bilik persalinan. Saya tidak pernah merasakan perkara ini sebelumnya.

“Apabila anda mempunyai persekitaran yang baik, maka anda tahu pasukan ini mampu untuk mencapai sesuatu,” kata Bojan Hodak pada sidang media selepas perlawanan.

Zhafri Yahya dan Paulo Josue menjadi wira pasukan apabila kedua-dua pemain menjaringkan gol masing-masing pada minit ke-66 dan 77 sekaligus memberikan kejuaraan kepada KL City.

Kemenangan ke atas JDT turut menamatkan penantian skuad ibu kota itu selama 32 tahun untuk memenangi kejohanan tertua dalam saingan Liga Malaysia.

Selain itu, Kuala Lumpur City juga akan beraksi dalam saingan Piala AFC musim hadapan dengan mengiringi Kedah Darul Aman yang muncul sebagai naib juara Liga Super musim ini.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia di sini:

Menteri Besar Kedah Tumpang Gembira Dengan Kejayaan KL City Menjuarai Piala Malaysia 2021

KL City Tak Hirau Reputasi Hebat JDT, Julang Piala Malaysia 2021

Baddrol Bakhtiar: Tak Mustahil Malaysia Mampu Layak Ke Final Piala AFF