Pemain kacukan negara, Kobe Chong dikhabarkan semakin hampir untuk menyertai salah satu pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Super 2022 setelah beliau bergelar ejen bebas apabila musim 2021/2022 berakhir.

Menurut perkongsian wartawan The Star, T.Avineshwaran, pasukan yang dimaksudkan ialah Sri Pahang dimana pemain berusia 20 tahun itu telah beraksi dalam perlawanan persahabatan dan mula dengan beberapa pemain Pahang.

Kobe sebelum ini berkongsi ketibaan beliau di Malaysia menerusi laman media sosial Instagram miliknya dimana pemain muda itu menginap di salah satu hotel namun tidak memberitahu dimana lokasi beliau menginap.

Kobe Chong dikaitkan dengan Sri Pahang setelah pemain itu pernah berjumpa dengan presiden Pahang Rangers, YAM Tengku Arif Temenggong Tengku Fahd Mua’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah pada Mei lalu.

Peterborough melepaskan Kobe selain pemain lain seperti Connor Peters serta Ethan Bojang selepas kelab itu tersingkir ke saingan divisyen ketiga bola sepak England iaitu EFL League One musim hadapan.

“Ketiga-tiga pemain akan meninggalkan London Road pada musim panas ini. Peters merupakan anak tempatan yang menghabiskan saingan musim lalu bersama Yaxley secara pinjaman manakala Kobe dan Ethan yang beraksi bersama kelab non league juga secara pinjaman bakal meninggalkan pasukan,” dipetik dari laporan Peterborough Telegraph.

Pada masa yang sama, Avineshwaran turut memberikan perkembangan mengenai masa depan pemain tengah, Nor Azam Azih dimana beliau menjelaskan Azam masih mempunyai kontrak dengan Sri Pahang.

Kobe Chong
Sumber Gambar: FAM

Azam dikaitkan dengan perpindahan ke beberapa pasukan antaranya Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas Pengarah Teknikal kelab, Alistair Edwards mendedahkan pasukannya akan menandatangani empat pemain baharu untuk menambah kekuatan skuad pada jendela perpindahan pertengahan musim.

Perkembangan tersebut turut disahkan oleh pemilik kelab, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang berkata pasukan berkenaan sudahpun mendapatkan khidmat empat pemain itu.

“Selesai tugas menandatangani dua pemain import dan dua pemain tempatan. Kelab berada dalam keadaan baik dan negeri ‘under control’.Lebih banyak peningkatan dalam berapa bulan mendatang untuk kedua-duanya,” katanya menerusi hantaran di instagram beliau.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

Guilherme De Paula Gesa Peminat Banjiri SNBJ Pada Aksi Bertemu Bahrain

Kim Pan-gon Mahu TMJ Terus Kekal Kendalikan JDT

TMJ Umum Undur Diri Daripada Kendalikan JDT