Kuala Lumpur (KL) City difahamkan semakin hampir untuk mendaftarkan dua nadi kekuatan pasukan, Paulo Josue dan Romel Morales sebagai pemain tempatan selepas proses naturalisasi sudah memasuki fasa akhir.

Perkembangan terkini itu disahkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad dalam satu sidang media, petang tadi menurut sumber laporan Flash Sukan.

Kedua-dua pemain tersebut nyata memainkan peranan penting buat KL City  sehingga berjaya membawa kelab tersebut menjulang trofi TM Piala Malaysia 2021 serta layak ke perlawanan akhir Piala AFC 2022.

Josue yang merupakan pemain kelahiran Brazil mula menyertai kelab tersebut pada pertengahan musim 2017 dan telah membuat lebih daripada 80 penampilan dalam semua pertandingan.

Manakala, Morales pula tidak perlu menunggu lama untuk membuktikan kemampuannya selepas menyarung jersi skuad warga kota itu pada musim lalu.

Kredit Foto: Kuala Lumpur City

Bagaimanapun seperti diketahui beliau sudah berada di Malaysia bermula tahun 2018 apabila beraksi bersama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) selama dua musim dan kemudiannya dipancing Melaka United.

Sudah pasti sumbangan berkesan ditampilkan kedua-dua pemain tersebut telah mendorong KLFA dan KL City untuk menjadikan mereka sebagai pemain naturalisasi.

Satu keadaan yang membolehkan Bojan Hodak mencari dua lagi pemain import berkualiti untuk mengisi kekosongan selepas Josue dan Morales bergelar pemain tempatan.

Sebagai rekod sudah ada lima bekas pemain import telah didaftarkan sebagai pemain naturalisasi iaitu Mohamadou Sumareh (Gambia), Liridon Krasniqi (Kosovo), Guilherme De Paula (Brazil), Lee Tuck (England) dan Sergio Aguero dari Argentina.

 

 

 

Sumber