Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Dua pemain import skuad Kuala Lumpur City (KL City) iaitu Paulo Josue dan Romel Morales kini dalam proses naturalisasi untuk mendapat status warganegara Malaysia yang sah.

Artikel Berkaitan:

Perkembangan itu diumumkan oleh Setiausaha Agung Kuala Lumpur FA (KLFA) Nokman Mustaffa melalui laporan dalam New Straits Times semalam.

Beliau berkata KLFA akan membantu permohonan Paulo Josue untuk mendapatkan status kewarganegaraan terlebih dahulu diikuti Morales pada bulan Oktober atau November.

Mereka juga berpeluang menyarung jersi skuad Harimau Malaya tahun depan jika segala proses naturalisasi sudah selesai sepenuhnya pada penghujung tahun ini mengikut undang-undang Perlembagaan Malaysia.

Kedua-dua pemain itu memainkan peranan penting dalam pasukan KL City sehingga menjuarai Piala Malaysia tahun lepas. Mereka juga membantu skuad warga kota mencipta sejarah mara ke Final Antara Zon Piala AFC pada musim ini.

“Bagi saya, Josue adalah pemain tengah terbaik di Malaysia. Tanpa dia, saya tidak fikir KL City boleh pergi jauh. Kerana dia kita berada di tempat kita hari ini,” kata Nokman dipetik dalam NST.

Josue yang berusia 33 tahun beraksi dalam Liga Malaysia sejak tahun 2017. Sepanjang bersama KL City, beliau telah membuat 81 penampilan dan menjaringkan 29 gol. Beliau yang kini kapten KL City pernah membantu pasukan itu menjuarai Liga Premier pada musim 2017.

Manakala Morales yang berusia 25 tahun menyertai KL City pada 2021, selepas meninggalkan Melaka United, tetapi dia telah beraksi dalam Liga Malaysia sejak tahun 2018, dan pernah bermain untuk PKNS FC selama dua musim.

Menurut laporan NST, difahamkan keupayaan Paulo Josue di bahagian tengah dan penyudah yang tajam oleh Morales telah menarik minat jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-Gon.

Sebelum ini, badan pengendali liga, Malaysia Football League (MFL) telah meluluskan permohonan dua pemain Sri Pahang, Lee Tuck dan Aguero untuk didaftarkan sebagai pemain tempatan.

Bagaimanapun, MFL menegaskan kelulusan mana-mana pemain naturalisasi akan dibuat berdasarkan Peraturan Kelayakan yang termaktub dalam Statut Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA) iaitu tinggal selama lima tahun berturut-turut di negara tersebut sebelum boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan.

Malaysia sebelum ini sudah mempunyai tiga pemain naturalisasi iaitu Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula yang pernah menyarung jersi Harimau Malaya.