Prestasi buruk yang ditampilkan oleh skuad ibu kota dalam saingan Liga Super setakat ini nyata menarik perhatian pengurusan pasukan, Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) dimana mereka mahu melakukan rombakan ke atas pemain import pasukan yang dianggap tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Kuala Lumpur setakat ini tewas dalam kesemua perlawanan Liga Super dan menduduki tangga tercorot tanpa mengutip sebarang mata. Terbaru, mereka dibelasah oleh pasukan PKNP FC yang turut berada dalam zon penyingkiran dengan keputusan 4-0 dan kekalahan ini nyata sukar diterima baik oleh pengurusan mahupun peminat setia pasukan.

Menurut laporan akhbar tempatan, Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa memberi bayangan pihaknya mahu melakukan rombakan dari segi pemain import bagi memastikan skuad The City Boys kembali bangkit memberikan saingan sekaligus keluar daripada zon penyingkiran.

Jika melihat kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Nokman, tiga pemain import iaitu Sylvano Comvalius, Ryotaru Karube dan Luke Woodland berkemungkinan besar bakal digugurkan dan digantikan dengan pemain import baru. Sylvano setakat ini menampilkan aksi longlai apabila beliau hanya mampu menjaringkan satu gol dalam saingan Liga Super. Malah, bekas penyerang Bali United ini dilihat menjadi pilihan ketiga dibelakang Syafwan Sahlan dan Guilherme De Paula.

Bagi Ryotaru dan Woodland pula, kedua-dua pemain gagal untuk menampilkan persembahan yang konsisten di bahagian tengah dan juga pertahanan sehingga menyebabkan benteng pertahanan skuad The Hawks mudah untuk dibolosi oleh barisan serangan pihak lawan.

Selain mempertimbangkan untuk menukar pemain import, KLFA juga harus mengambil kira persembahan yang ditampilkan oleh pemain tempatan. Persembahan yang ditampilkan oleh beberapa pemain tempatan dilihat tidak seperti yang diharapkan.

Akhir sekali, perubahan harus dilakukan oleh KLFA bagi memastikan juara tiga kali Piala Malaysia itu tidak mengulangi episod duka musim 2012 lalu dalam saingan Liga Super. Pada saingan Liga Super musim 2012, Kuala Lumpur menamatkan saingan di tangga tercorot sekaligus tersingkir ke saingan Liga Perdana. Apa yang menyedihkan ialah mereka menamatkan musim tersebut tanpa sebarang kemenangan dan hanya mampu mencatat lima mata hasil daripada lima keputusan seri. The City Boys turut tewas dalam 21 perlawanan.