Perlawanan Liga Super musim 2019 telahpun memasuki minggu yang ketujuh. Setakat ini, penyerang import Johor Darul Ta’zim, Gonzalo Cabrera memimpin carta Penjaring Terbanyak Liga dengan kutipan 5 gol diikuti Dickson Nwakaeme dan Diogo Luis Santo dengan 4 gol.

Akan tetapi, nasib beberapa penyerang import yang lain sedikit berbeza dengan tiga pemain di atas. Di sini, 4 pemain yang akan disenaraikan mungkin berdepan dengan penyingkiran pada jendela perpindahan kedua yang dibuka pada Mei ini.

1. Kipre Tchetche

Penyerang Import
Sumber Gambar: Terengganu FC

Pemain yang membantu Terengganu FC mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 ini masih lagi gagal untuk mencipta sebarang jaringan dalam saingan liga setakat ini. Prestasi yang ditampilkan Kipre nyata jauh berbeza berbanding musim lalu.

Malah, ketua jurulatih pasukan, Irfan Bakti mengambil keputusan untuk memberikan lilitan ketua pasukan kepada pemain lain untuk mengurangkan beban Kipre.

2. Sylvano Comvalius

Penyerang Import
Sumber Gambar: Foxsport Malaysia

Kedatangan Sylvano pada mulanya memberikan harapan baru kepada penyokong The City Boys bagi membantu Guilherme De Paula untuk memantapkan lagi jentera serangan pasukan. Tapi, sangkaan tersebut nyata meleset sama sekali.

Bekas penjaring terbanyak Liga 1 Indonesia ini hanya mampu menjaringkan 1 gol setakat ini dan beliau kini dilihat menjadi pilihan kedua dibelakang Guilherme.

3. Ze Love

Penyerang Import
Sumber Gambar: Pahang FA

Kehadiran penyerang yang pernah beraksi bersama pemain termahal dunia, Neymar ketika di Santos ini diharapkan dapat membantu Orang Besi, Dickson Nwakaeme untuk memantapkan lagi jentera serangan skuad Tok Gajah.

Namun, persembahan yang ditampilkan oleh Ze Love tidak seperti yang diharapkan dimana beliau hanya mampu menjaringkan 2 gol setakat ini. Ketua jurulatih pasukan, Dollah Salleh telah memberikan amaran kepada Ze Love untuk menampilkan aksi yang lebih meyakinkan.

4. Casagrande

Penyerang Import
Sumber Gambar: MUSA

Penjaring terbanyak Liga Perdana musim 2018 ini bermula dengan baik apabila beliau menampilkan aksi yang memberangsangkan di jentera serangan pasukan Melaka United.

Akan tetapi, penyerang import dari Brazil ini gagal untuk mengekalkan prestasi cemerlang beliau dan hanya mampu untuk menjaringkan satu gol dalam saingan Liga Super setakat ini.

Itulah dia 4 penyerang import yang berdepan dengan penyingkiran pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia musim ini sekiranya gagal untuk memperbaiki prestasi mereka.

Saingan yang kompetitif serta tekanan daripada peminat dan juga pengurusan pasukan sedikit sebanyak memberi kesan kepada prestasi yang ditampilkan oleh penyerang import.