Ketua jurulatih pasukan negara, Kim Pan-gon tidak mahu terburu-buru untuk menghukum pemain yang menolak panggilan untuk menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan yang sedang berlangsung ketika ini.

Jurulatih dari Korea Selatan itu mahu mengetahui faktor utama mengapa pemain tersebut menolak panggilan skuad kebangsaan dan memahami masalah yang dihadapi sebelum menjatuhkan hukuman.

Pan-gon menjelaskan bahawa beliau masih baharu dan belum mengerti sepenuhnya mengenai latar belakang pemain. Tambahnya, masih banyak yang beliau harus pelajari terutamanya budaya bola sepak tempatan.

Kim Pan-gon
Sumber Gambar: FAM

Kim Pan-gon membahas mengenai pemain pertahanan Sabah, Rizal Ghazali yang menolak panggilan skuad kebangsaan bagi menggantikan Syahmi Safari yang mendapat pengecualian kerana kelahiran anak kembarnya.

Penolakan ini menyaksikan nama pemain pertahanan Negeri Sembilan, Ahmad Khuzaimi Piee dipanggil bagi membarisi posisi pertahanan pasukan negara.

Rizal berdepan dengan hukuman berupa denda sebanyak RM25,000 serta larangan untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia bersama kelabnya. Hukuman ini boleh dikenakan kepada Rizal sekiranya beliau tidak menghadiri kem latihan pusat bermula 21 Mac kerana tarikh tersebut adalah permulaan kalendar antarabangsa FIFA.

Skuad Harimau Malaya akan turun menjalani latihan di Stadium Nasional, Bukit Jalil selama lapan hari bermula Isnin, 14 Mac 2022 sebelum dijadual berlepas ke Singapura pada 22 Mac 2022.

Malaysia akan menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 (FAS Tri-Nations Series 2022) bertemu Filipina (23 Mac) dan Singapura (26 Mac) serta satu lagi perlawanan persahabatan bertemu kelab Liga Singapura, Albirex Niigata FC Singapore pada 28 Mac 2022, ketiga-tiganya berlangsung di Singapura.

Baca artikel lain mengenai perkembangan pasukan kebangsaan di sini:

Peminat Sambut Baik Kehadiran Zhafri Yahya Dalam Skuad Kebangsaan

Zhafri Yahya Akhirnya Dipanggil Sertai Skuad Harimau Malaya

Tolak Panggilan Skuad Kebangsaan, Tindakan Rizal Ghazali Cetus Tanda Tanya