Ramai pihak khususnya peminat bola sepak tanah air kurang senang dengan tindakan pemain pertahanan Sabah, Rizal Ghazali yang menolak untuk menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan kendalian Kim Pan-gon.

Semalam, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan beberapa perubahan dalam senarai pemain yang dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat menjelang aksi persahabatan antarabangsa pada bulan ini.

FAM menyenaraikan pemain pertahanan Negeri Sembilan, Ahmad Khuzaimi Piee bagi menggantikan Syahmi Safari, dari Johor Darul Ta’zim (JDT) yang memohon pengecualian susulan isterinya telah melahirkan bayi kembar tiga.

Rizal yang sepatutnya menggantikan tempat Syahmi telah membuat keputusan untuk menolak panggilan untuk menyertai kem latihan skuad Harimau Malaya kali ini tanpa sebarang alasan yang kukuh.

“Perancangan asal kami ialah menggantikan Syahmi dengan seorang pemain pada posisi yang sama, iaitu bek kanan tetapi pemain Sabah, Rizal Ghazali menolak pelawaan” dipetik dari kenyataan yang dikeluarkan oleh FAM.

Menurut tinjauan kami di laman media sosial, tindakan Rizal ini menyebabkan peminat kurang senang kerana ada pemain yang menolak untuk memyertai tugasan bersama pasukan kebangsaan.

Peminat juga kecewa kerana masih ada pemain yang memandang ringan mengenai tugasan bersama pasukan negara tatkala Malaysia sedang cuba bangkit selepas menampilkan prestasi buruk dalam saingan Piala AFF Suzuki 2020 serta berada di bawah kendalian ketua jurulatih baharu.

Tiada sebarang kenyataan baik dari Rizal mahupun kelabnya iaitu Sabah mengenai faktor utama mengapa pemain itu enggan untuk menyertai kem latihan pusat, sama ada kerana kecederaan atau sebab peribadi.

Skuad Harimau Malaya akan turun menjalani latihan di Stadium Nasional, Bukit Jalil selama lapan hari bermula Isnin, 14 Mac 2022 sebelum dijadual berlepas ke Singapura pada 22 Mac 2022.

Malaysia akan menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 (FAS Tri-Nations Series 2022) bertemu Filipina (23 Mac) dan Singapura (26 Mac) serta satu lagi perlawanan persahabatan bertemu kelab Liga Singapura, Albirex Niigata FC Singapore pada 28 Mac 2022, ketiga-tiganya berlangsung di Singapura.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

Rizal Ghazali Tolak Panggilan Ke Skuad Kebangsaan, Khuzaimie Piee Ganti Syahmi Safari

Taja Rumput Baharu Stadium Nasional Bukit Jalil, TMJ: Niat Saya Ikhlas

Stanley Bernard Bakal Tinggalkan Kuala Lumpur City