Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon mengakui terkejut apabila mendapati beberapa pemain mengalami kekejangan otot walaupun berjaya menewaskan Turkmenistan 1-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Ibrahim semalam.

Menurutnya, situasi seperti itu tidak boleh berlaku lagi jika mahu menghadapi saingan Piala Asia yang dijadualkan berlangsung pada tahun depan dan berharap tahap kecergasan pemain dapat ditingkatkan.

“Kita ada banyak peluang untuk jaringkan gol, sekurang-kurang tiga atau empat gol tapi kecekapan penjaga gol Turkmenistan menghalang kita menang dengan lebih selesa.

“Saya mahukan konsitensi permainan dan pemain perlu kekalkan kekuatan mental dan disiplin supaya kurangkan kesilapan.

“Ada pemain yang mengalami kekejangan otot dan ia tidak sepatutnya berlaku kerana saya mahukan corak permainan pantas dan sentiasa bola bergerak untuk kelancaran permainan dan apa yang berlaku seperti kekejangan dan tahap kecergasan tidak memuaskan tidak boleh ada di kalangan pemain,” katanya.

Pan Gon juga menegaskan kekuatan fizikal dan tahap kecergasan amat penting dan beliau menjangkakan tahap kecergasan pemain akan lebih mantap pada Jun hingga September apabila sudah berada di kemuncak kecergasan.

“Permainan yang saya terapkan menuntut ketahanan fizikal dan mental, serta disiplin yang tinggi daripada pemain, kita lihat malam ini ada pemain yang tidak dapat ikut, jadi kita perlu tingkatkan lagi prestasi kita.

“Pemain harus tingkatkan lagi tahap kecergasan tetapi mungkin ini disebabkan baru permulaan musim jadi pemain tidak bermain banyak perlawanan lagi, saya jangka kita akan lebih baik pada Jun dan September nanti,” katanya.

Malah, beliau juga mengakui pemain baharu masih dalam proses untuk memahami corak taktikal yang diterapkan dan akan memperbaiki beberapa kelemahan yang ada.

“Harus perbaiki dari aspek umpanan bola kerana kami inginkan lebih baik daripada apa yang pemain lakukan ketika beraksi malah ia perlu segera dimantapkan lagi kerana kita akan menentang pasukan kuat di Piala Asia nanti.

“Mengenai penampilan pertama Feroz, Endrick, Nooa Laine, Paulo, mereka tampak masih bergelut untuk menyerap corak taktikal yang pratikkan tapi saya akan bantu mereka untuk menyesuaikan diri secepat mungkin,” kata Pan Gon.