Ketua jurulatih baharu pasukan kebangsaan, Kim Pan-gon bakal bertemu dengan tujuh jurulatih tempatan yang berminat untuk menjadi pembantunya dalam menguruskan skuad Harimau Malaya.

Menurut perkongsian wartawan Astro Arena, Fina Nasrom, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah menyenarai pendek nama dua jurulatih untuk dipilih oleh Pan-gon bagi menjadi pembantunya.

Namun, jurulatih dari Korea Selatan itu mahu bertemu dengan tujuh calon yang berminat bagi membuat penilaian sendiri mengenai jurulatih mana yang sesuai dengan kehendak dan perancangan beliau.

Antara jurulatih tempatan yang berminat untuk menjadi pembantu kepada Pan-gon adalah bekas pengendali Kedah Darul Aman dan Kelantan, Azraai Khor Abdullah, bekas ketua jurulatih Melaka United dan Selangor, Zainal Abidin Hassan, jurulatih Sarawak United, E.Elavarasan, Wan Rohaimi, Firdaus Tan Abdul Aziz, Wan Mustafa dan Ismail Ibrahim.

Kim Pan-gon diperkenalkan secara rasmi oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada semalam dan beliau membawa beberapa jurulatih untuk menjadi sebahagian daripada staf kejurulatihan pasukan negara.

Senarai barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya yang baharu di bawah kendaliannya iaitu Pau Marti Vicente (penolong jurulatih), Cho Junho (jurulatih penjaga gol), Dr. Gokhan Kandemir (jurulatih kecergasan) dan Lim Jaehun (jurulatih analisis prestasi).

Sementara itu, seorang lagi penolong jurulatih iaitu dalam kalangan jurulatih tempatan akan dinamakan kemudian oleh Pan Gon dalam masa terdekat selepas beliau membuat penilaian akhir terhadap tujuh calon yang berminat.

Skuad Harimau Malaya di bawah kendalian Pan Gon ini dijadual bertemu Filipina pada 23 Mac 2022 dan bertemu Singapura pada 26 Mac 2022, kedua-duanya di Singapura sebagai persiapan dan persediaan pasukan menjelang Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 dari 8 hingga 14 Jun 2022.

Baca artikel lain mengenai perkembangan pasukan kebangsaan di sini:

Pau Marti Vicente: Kami Akan Lakukan Yang Terbaik Untuk Malaysia

Kim Pan Gon Perkenalkan Barisan Kejurulatihan Harimau Malaya, Pembantu Jurulatih Tempatan Masih Misteri.

Piala AFF B-23: Demi Semangat Kesukanan, Malaysia Akan Menentang Laos Dua Kali