Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini telah memperkenalkan ketua jurulatih kebangsaan yang baharu, Kim Pan Gon pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya yang mana ia merupakan sesi pertama beliau selepas tiba di tanah air dan selesai menjalani tempoh kuarantin.

Pengendali dari Republik Korea itu yang bakal genap 53 tahun pada 1 Mei 2022 sebelum ini diumum namanya sebagai ketua jurulatih baharu Harimau Malaya oleh Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin ketika sidang media selepas mesyuarat khas pertama Jawatankuasa Eksekutif FAM Penggal 2021-2025 pada 21 Januari lalu.

Pada sesi sidang media hari ini, Pan Gon telah mengumumkan senarai barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya yang baharu di bawah kendaliannya iaitu Pau Marti Vicente (penolong jurulatih), Cho Junho (jurulatih penjaga gol), Dr. Gokhan Kandemir (jurulatih kecergasan) dan Lim Jaehun (jurulatih analisis prestasi).

Sementara, seorang lagi penolong jurulatih iaitu dalam kalangan jurulatih tempatan akan dinamakan kemudian oleh Pan Gon dalam masa terdekat selepas beliau membuat penilaian akhir terhadap beberapa calonnya.

“Saya menyandang jawatan sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan Malaysia dengan satu penghormatan yang cukup tinggi. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Presiden dan barisan Exco FAM kerana memberi peluang kepada saya, serta kepada para peminat yang menyambut baik kehadiran saya ini.

“Saya sudah biasa dengan projek F30 untuk pasukan kebangsaan Malaysia. Dan saya amat sedar bahawa kita mempunyai matlamat untuk menjangkaui tahap Asia Tenggara. Matlamat inilah yang saya dan pasukan saya ini berada di sini untuk mencapainya. Saya berjanji bahawa saya dan pasukan saya ini akan cuba sedaya upaya untuk membawa pasukan kebangsaan Malaysia ke peringkat seterusnya. Saya percaya pasukan kebangsaan Malaysia mempunyai potensi yang besar.

“Saya berharap agar barisan kejurulatihan ini diberi masa untuk kami membina asas kukuh terlebih dahulu dan bergerak ke hadapan ke arah matlamat kami dengan memberi tumpuan kepada gambaran yang lebih besar.

“Seperti yang saya tahu bahawa moto negara Malaysia ialah “perpaduan adalah kekuatan”. Saya percaya jika semua boleh bersatu bersama-sama kami dengan sokongan dan kepercayaan anda semua, kita akan berjaya untuk mencapai matlamat kita.”

Sidang media turut dihadiri oleh Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar; Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell dan Exco FAM, Christopher Raj yang juga Pengerusi Jawatankuasa Media, Komunikasi dan Perhubungan Awam FAM.

Skuad Harimau Malaya di bawah kendalian Pan Gon ini dijadual bertemu Filipina pada 23 Mac 2022 dan bertemu Singapura pada 26 Mac 2022, kedua-duanya di Singapura sebagai persiapan dan persediaan pasukan menjelang Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 dari 8 hingga 14 Jun 2022.

Baca juga artikel lain yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah.

RASMI: Luno Diumumkan Selaku Rakan Pelaburan Kripto, Penaja Liga Super Malaysia Dan Piala Malaysia 2022

TERKINI: Pertahanan Kiri Indonesia, Pratama Arhan Sah Sertai Tokyo Verdy Dalam Saingan J2 League

TRW Kelantan Mohon Tarik Diri Dari Kejohanan Piala Belia 2022, Faktor Kewangan Jadi Punca Utama