Bekas penyerang skuad kebangsaan, Khalid Jamlus mengenang jasa mendiang Shebby Singh yang baru sahaja meninggal dunia baru-baru ini ekoran serangan jantung.

Menerusi satu post di Facebook miliknya, Khalid menyatakan beliau masih teringat nasihat yang diberikan kepadanya oleh Sheby ketika awal mula bergelar pemain bola sepak profesional.

“Kata-kata beliau yang masih tersemar dalam diri saya sampai saat ini. Lid, jika mahu menjadi pemain yang hebat, anda perlu berusaha. Usah pedulikan apa yang orang lain cakap sebab perjalanan hidup anda baru sahaja bermula.

“Jangan pernah lupakan asal usul dan jangan sesekali besar kepala. Sentiasa rendah diri. Salam takziah kepada keluarga mendiang,” kata Khalid Jamlus.

Bekas pemain skuad kebangsaan pada era 80an itu pengsan dipercayai akibat sesak nafas ketika berbasikal di Sunway di Iskandar Puteri di Johor, kira-kira jam 7.30 malam.

Pemain pertahanan negara, Aidil Zafuan yang sempat berselisih dengan mendiang mengatakan Shebby kelihatan penat ketika memulakan kayuhan.

“Saya menerima berita pemergian mendiang lebih kurang jam 8 malam tadi. Saya agak terkejut juga kerana petang tadi dalam lebih kurang jam 5.15 petang, saya sempat berselisih dengan mendiang.

“Ketika itu, mendiang baru sahaja mula berbasikal. Saya sempat mengangkat tangan kepada dia, jadi dia pun sempat mengangkat tangan semula dan keadaan dia pun memang nampak penatlah. Saya rasa ketika itu dia baru mula nak berbasikal kerana rumah saya dan rumah mendiang berhampiran. Namun ketika itu, cuaca agak panas,” kata Aidil kepada Sinar.

Shebby memulakan kerjaya di arena bola sepak sebagai pemain di bahagian pertahanan bagi pasukan Johor FA sebelum berpindah ke pasukan bola sepak Kuala Lumpur pada 1983. Mendiang juga pernah beraksi bagi pasukan Negeri Sembilan FA dan Pahang FA sebelum menamatkan kerjayanya dengan Perak FA pada tahun 1996.

Sejak bersara sebagai pemain kebangsaan, mendiang meneruskan khidmat sebagai ketua jurulatih dan menjadi hos rancangan sukan di beberapa stesen televisyen Asia.

Bukan sahaja pernah berkhidmat dalam mengendalikan pasukan kebangsaan, bahkan mendiang juga adalah Penasihat Global kepada kelab yang ketika itu beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), Blackburn Rovers pada 2012.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia di sini:

Bekas Pemain Kebangsaan, Shebby Singh Disahkan Meninggal Dunia

Syahrian Abimanyu Kembali Ke Liga Indonesia Sarung Jersi Persija Jakarta

TMJ “Whatsapp” Presiden Melaka United, Minta Selesaikan Tunggakan Gaji