Bekas penyerang import Kedah Darul Aman, Ken Ilso Larsen mengenang semula zaman kegemilangan ketika beliau beraksi bersama pasukan itu.

Menerusi laman media sosial Instagram miliknya, Ken menyatakan bahawa beliau tidak akan lupa bagaimana perasaan ketika beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong yang membanjiri Stadium Darul Aman.

“Saya tak akan lupa bagaimana rasanya beraksi di Stadium Darul Aman. 30 Ribu penyokong setia yang membanjiri stadium. Kalau mereka tak dapat tiket, mereka akan memanjat tiang lampu hanya untuk menyaksikan kami beraksi. Luar biasa,” katanya.

Perkara ini turut membangkitkan nostalgia seorang lagi bekas pemain import Kedah iaitu Sandro da Silva dimana pemain dari Brazil itu turut memberikan komen di Instagram Ken Ilso.

“Satu tempoh yang baik sahabatku. Saya rindu itu semua,” kata Sandro.

Bersama Kedah yang ketika itu dikendalikan oleh Tan Cheng Hoe, Ken Ilso berjaya membantu pasukan itu memenangi dua kejuaraan iaitu Piala Sumbangsih dan juga Piala FA.

Selain itu, Ken turut menjaringkan 15 gol dalam saingan Liga Super dan menduduki Top 3 dalam carta penjaring terbanyak di belakang Matheus Alves (18 gol) dan Mohammed Ghaddar (23 gol).

Setelah terpalit dengan isu penggunaan dadah jenis kokain, Ken Ilso dilaporkan mengambil keputusan untuk bersara daripada bola sepak profesional di semua peringkat.

Ujian yang dijalankan terhadap penyerang berusia 35 tahun itu mendapati beliau positif benzoylecgonine – sejenis bahan utama yang terdapat dalam kokain.