Disebalik kemenangan pasukan Kuala Lumpur (KL) City yang muncul juara Piala Menteri Wilayah Persekutuan 2023 selepas menundukkan Perak 3-0 kelmarin, ada satu nama telah menarik perhatian isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah ketika sesi penyampaian pingat.

Nama pemain pertahanan KL City, Muhammad Anwar Bin Ibrahim diumumkan ketika memasuki padang di separuh masa kedua sekaligus mengejutkan Wan Azizah yang turut hadir menyaksikan perlawanan tersebut.

Anwar Ibrahim adalah nama yang serupa dengan suaminya yang juga Perdana Menteri Malaysia ketika ini dan Wan Azizah turut tidak melepaskan peluang mengajak pemain tersebut bergambar bersama selepas tamat perlawanan.

Bekas pemain Selangor II itu mengakui terharu apabila diajak bergambar bersama isteri Perdana Menteri dan mendedahkan pemain tengah KL City, Akram Mahinan menjadi punca utama.

“Akram Mahinan pergi ke pentas dahulu dan dia beritahu nama saya kepadanya (Dr Wan Azizah). Beliau kemudian berkata mahu bergambar bersama dan saya cukup terharu,” kata Anwar dipetik dalam NST. 

Wan Azizah dalam satu kenyataan di laman twitternya mendoakan agar Anwar berjaya dalam karier bola sepaknya dan berharap dapat membantu KL City mencapai pelbagai kejayaan.

“Saudara Anwar Ibrahim, pemain harapan masa depan. Diiringi doa agar maju jaya, berilmu, beriman dan bertaqwa,” tulisnya.

Dalam perlawanan itu, rekrut baharu KL City, Herlison Caion De Sauza Fereira meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ke-34 menerusi sepakan penalti setelah bek kanan Perak, Muhamad Hafizal Mohamad Alias mengasari Romel Morales.

Tersentak dengan jaringan tersebut, anak buah Lim Teong Kim cuba untuk bangkit bagi mendapatkan jaringan penyamaan tetapi rembatan Muhammad Farris Izdiham diselamatkan Kevin Ray Mendoza manakala percubaan Christian Obiozor pula hanya singgah di palang gol.

Dua lagi gol KL City disumbangkan oleh pemain import, Paulo Josue (minit ke-53) dan Giancarlo Gallifuoco (minit ke-74) untuk mengesahkan kemenangan 3-0 sekali gus menjulang piala yang didedikasikan kepada Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.