Pemain bintang Thailand, Supachok Sarachat tidak tersenarai dalam skuad kebangsaan negara tersebut bagi menghadapi saingan kelayakan Piala Asia 2023 yang akan bermula pada 8 Jun ini.

Ketua jurulatih Thailand, Alexandre Polking baru-baru ini menyenaraikan 23 pemain bagi membawa cabaran pasukan dalam kumpulan B dan beberapa nama besar seperti Teerasil Dangda, Theerathon Bunmathan, Sarach Yooyen dan Adisak Kraisorn berada dalam senarai tersebut.

Akan tetapi, Polking tidak menyenaraikan Supachok yang sebelum ini dianggap bakal menjadi pemain penting bagi negara tersebut setelah Chanathip Songkrasin terpaksa disisihkan ekoran mengalami kecederaan otot yang menyebabkan pemain itu terpaksa berehat selama 8 minggu.

Menurut perkongsian Thai League Central di laman media sosial Twitter, Supachok perlu melengkapkan perpindahannya ke Consadole Sapporo dan terdapat konflik kerana proses ini bertembung dengan saingan peringkat kelayakan sekaligus menyebabkan pemain berusia 24 tahun itu tidak dapat beraksi bersama pasukan negaranya.

Ketiadaan Supachok Sarachat bakal memberikan peluang kepada pemain lain seperti Worachit Kanitsribampen, Bordin Phala dan Weerathep Pomphan untuk menyinar dalam saingan kelayakan kali ini.

Supachok menyertai Consadole Sapporo secara pinjaman dari Buriram United dan beliau bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Chanathip yang menyertai juara bertahan J1, Kawasaki Frontale pada awal musim ini.

Dalam saingan kelayakan Piala Asia 2023, Thailand berada dalam satu kumpulan bersama Uzbekistan yang juga tuan rumah, Sri Lanka dan Maldives sekaligus menjadi pasukan pilihan dari kumpulan C untuk melangkah ke temasya tersebut.

Pada temasya edisi 2019, Thailand berjaya mara ke peringkat 16 pasukan terakhir setelah menduduki tangga kedua dalam kumpulan A di belakang Emiriah Arab Bersatu (UAE). Namun skuad kendalian Akira Nishino ketika itu terpaksa akur dimana mereka tewas kepada China dengan keputusan 2-1.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan bola sepak Asia di sini:

AFC B-23: Brad Maloney Tetap Puji Aksi Ditampilkan Anak Buahnya

Analisis Taktikal: 2 Falsafah Guardiola Digunakan Korea Selatan Menewaskan Malaysia

AFC B-23: Korea Selatan Terlalu Unggul Buat Skuad Muda Negara