Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Bek kiri Kelantan FC, Zubir Azmi mengakui hampir pasti ingin bersara bagi menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga sebelum akhirnya mendapat tawaran daripada Kelantan untuk beraksi pada baki saingan Liga Premier, musim ini.

Selepas berjauhan dengan keluarga ketika beraksi bersama Sabah pada musim lalu, pemain berusia 30 tahun ini pada awalnya mengambil keputusan untuk bekerja sebagai ejen Takaful dan enggan lagi terlibat dalam kancah bola sepak.

Namun, selepas ditawarkan untuk bersama Kelantan, Zubir mengakui perasaan rindu untuk beraksi hadir semula sekali gus menutup kembali niat untuk bersara sepenuhnya pada tahun ini.

Apa yang penting, dia semakin bersemangat untuk membuktikan kudratnya masih berbisa bagi membantu pasukan itu mencapai prestasi terbaik pada musim ini.

“Pada mulanya memang saya rasa nak berhenti terus daripada bermain bola sepak sebab saya sudah kembali bersama keluarga, jadi rasa berat hati nak tinggalkan mereka.

“Selepas itu, saya mula membantu isteri dengan menjadi ejen Takaful dan tidak terlalu fikirkan untuk kembali ke padang.

“Tetapi semangat saya ada semula selepas mendapat tawaran bersama Kelantan, dan daripada situ saya rasa masih mampu untuk buktikan kemampuan saya di atas padang.

“Jadi, saya rasa selepas ini saya memang akan terus bermain selagi masih diperlukan dan tekad ingin beraksi cemerlang di Kelantan”, jelasnya.

Zubir sebelum ini pernah mencuri tumpuan dan merupakan antara watak penting dalam skuad negara selain pernah menjadi sebahagian daripada skuad kebangsaan dalam aksi Piala AFF Suzuki 2012 dan 2014.

Menjelang aksi pertama berdepan Perak FC II yang merupakan perlawanan tertunda pada Sabtu ini, dia percaya pasukan sudah bersedia sepenuhnya untuk meraih kemenangan.

Apa yang mengagumkan pemain kelahiran Terengganu ini ketika berlatih bersama pasukan adalah kelibat pemain-pemain muda yang berpotensi besar untuk kembali meletakkan The Red Warriors di tahap terbaik.

“Apabila saya mula-mula datang ke sini, apa yang menjadi perhatian saya adalah pemain-pemain muda yang cukup berbakat untuk berada dalam pasukan.

“Mereka mempunyai banyak potensi untuk diketengahkan dan melihat kesungguhan mereka menjadikan saya lebih berkeyakinan tinggi untuk bantu Kelantan memperbaiki kedudukan liga dengan lebih baik”, tambah Zubir Azmi lagi.

Aksi tertunda membabitkan Perak FC II dan Kelantan FC akan berlangsung pada Sabtu ini di Stadium Perak, Ipoh.

Kelantan kini di tangga ketujuh Liga Premier selepas mengumpul 14 mata.

Baca artikel lain mengenai Zubir Azmi dan Kelantan:

Zubir Azmi Sah Sertai TRW Kelantan FC

Kerja Keras Fakhrul Zaman Berbaloi, Terus Jadi Sandaran Kelantan United

Rezal Zambery Dilantik Sebagai Penolong Jurulatih TRW Kelantan

Anda Mungkin Suka

© 2021 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group