Pasukan Kedah Darul Aman (KDA) berjaya meneruskan rentak cemerlang mereka dalam saingan Liga Super 2023 setelah menewaskan Terengganu dengan keputusan 1-0 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Darul Aman baru-baru ini.

Selain disajikan dengan permainan yang menarik dari Kedah dan Terengganu, terdapat juga momen lucu dimana pengulas pada perlawanan tersebut, Fuad Rahim membuat satu komen berkenaan pemain import.

“Kita ada pemain import dari Uzbekistan dan juga import dari Tajikistan cuma kita belum lihat lagi pemain import dari Goheadgostan,” kata pengulas tersebut.

Perkara ini terus viral di laman media sosial dimana rata-rata peminat terhibur dengan komen yang dibuat dan ada juga peminat yang menganggap pengulas tersebut cukup kreatif dalam membawakan perlawanan ketika kedudukan terikat 0-0.

Pada perlawanan tersebut, pemain gantian iaitu Fadzrul Danel muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan di minit akhir perlawanan sekaligus membantu pasukannya mengutip 3 mata penuh.

Pengendali Kedah, Nafuzi Zain melakukan pertukaran pemain berbaki 15 minit masa sebenar permainan dengan memasukkan penyerang import, Jonathan Balotelli untuk memberikan sedikit tekanan kepada benteng pertahanan lawan.

Percaturan itu tampak membuahkan hasil apabila Balotelli hampir menjaringkan gol pada minit ke 80 tetapi rembatannya berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Terengganu, Suhaimi Hussin.

Ketika perlawanan seolah-olah bakal berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan, pemain pertahanan import Terengganu, Sardor Kulmatov membuat kesilapan yang tidak sepatutnya sehingga memberi ruang kepada Kedah untuk melakukan serangan balas.

Tindakan pemain Uzbekistan itu menghantar bola kepada penjaga gol mengundang padah apabila penyerang Kedah, Willian Lira mengambil kesempatan merampas bola tersebut sekaligus memberi peluang kepada Fazdrul Danel menyudahkan gol kemenangan.

Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan sekaligus meletakkan Kedah di tangga ketiga liga dengan enam mata manakala Terengganu yang tewas dua kali berturut-turut kini berada di kedudukan tercorot liga.