Adisak Kraisorn yang berjaya membantu Thailand muncul juara Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 dilihat bersedia untuk menyahut cabaran baharu beraksi dalam saingan Liga Malaysia selepas menandatangani kontrak bersama Terengganu.

Beliau yang beraksi di jentera serangan kini berada bersama pasukan dimana skuad Penyu sedang menjalani latihan pra musim di Bangkok.

Bahkan, dia juga tiada masalah untuk menyesuaikan diri dengan perkara baharu di Liga Malaysia termasuklah untuk beraksi pada sebelah petang.

“Ini merupakan cabaran baharu untuk saya di Malaysia memandangkan Liga Super bagi saya antara yang terbaik di Asean,” ujar Adisak menurut sumber Malaysian Football League (MFL).

“Saya ada tengok juga di Youtube bagaimana ramainya penyokong di Terengganu dan mereka sangat baik, jadi saya suka di sini.”

Skuad Terengganu ketika menundukkan Bangkok FC 2-0. Kredit Foto: Terengganu FC

“Berkenaan bermain di waktu petang, sudah tentu saya tiada masalah sebab di Thailand juga kadang-kadang ada bermain di waktu petang.”

“Untuk itu, saya juga kena belajar memahami peraturan Liga Malaysia dan saya kena belajar daripada semua sudut, jadi saya akan cuba yang terbaik”, jelas Adisak Kraisorn.

Sebelum menyertai Terengganu yang akan beraksi dalam saingan Piala AFC musim ini, Muangthong United menjadi kelab terakhir diwakilinya.

Memulakan karier bersama Muangthong United, Adisak kemudiannya berhijrah ke Buriram United pada tahun 2011 dan selepas empat musim, beliau menyertai Police Tero selama semusim [2015].

Hanya selepas semusim, beliau kembali semula ke pangkuan Muangthong yang menyaksikan dua kali beliau dipinjamkan ke Port FC dan kini misinya lebih besar sebagai pemain import buat Terengganu.