Pemilik kelab bola sepak Kedah Darul Aman (KDA FC), Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar mengumumkan sebanyak 10 peratus hasil kutipan tiket perlawanan Liga Super antara KDA FC menentang PDRM pada hari sabtu lepas akan disumbangkan kepada mangsa banjir di Johor.

Menurut kenyataan rasmi, ia adalah sumbangan ikhlas daripada kelab tersebut untuk membantu meringankan beban  ditanggung oleh rakyat Johor susulan musibah banjir yang melanda negeri itu.

“Simpati dengan nasib mangsa banjir di Johor, KDA FC akan menyumbangkan sebanyak 10 peratus dari kutipan tiket perlawanan LS3 antara KDA FC dan PDRM FC untuk disalurkan kepada pihak berwajib di Johor.

“Ini hari mereka ditimpa musibah, sedikit sebanyak tanda mengingati dan meringankan beban mangsa banjir di Johor.

“Marilah sama-sama kita mendoakan semua mangsa yang terlibat dengan banjir diberikan kekuatan dan dipermudahkan segala urusan dalam menempuh musibah banjir ini,” tulis kenyataan rasmi.

Langkah yang dilakukan oleh KDA FC itu turut mendapat pujian daripada peminat bola sepak tempatan sambil mendoakan urusan rakyat Johor dipermudahkan.

Menurut laporan Berita Harian, Johor merekodkan jumlah mangsa banjir paling ramai iaitu seramai 46,916 orang membabitkan 13,511 keluarga ditempatkan di 284 PPS.

Jumlah mangsa banjir di Johor, Pahang, dan Melaka masih tinggi iaitu 50,499 orang walaupun berlaku sedikit penurunan berbanding 55,000 mangsa yang berlindung di Pusat Pemindahan Sementara malam tadi.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat jam 8 pagi hari ini, sebanyak 311 pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka untuk menempatkan mangsa terjejas.