Kapten England Harry Kane pakai lilitan pelangi atau OneLove di Piala Dunia Qatar walaupun FIFA kemungkinan akan melarangnya.

FIFA sebelum ini ada polisi melarang mana mana pasukan menggunakan simbol atau logo berkaitan dengan kempen selain daripada bola sepak di bawah FIFA.

One Love merupakan komuniti yang menyokong peminat dari kalangan LGBTQ+ dan menyatakan bahawa mereka menentang diskriminasi.

September lalu, FA sudah mengumumkan bahawa kapten England, Harry Kane akan memakai lilitan kapten dengan rona pelangi itu pada Piala Dunia 2022.

Langkah itu dibuat selepas kapten Jerman, Manuel Neuer mengumumkan keinginan yang sama terlebih dahulu.

Badan induk bola sepak England bertekad bahawa kapten England akan memakai lilitan walaupun ia berisiko didenda FIFA. Ada beberapa lagi negara yang mahu mengikut langkah England ini.

Dan dijangka akan lebih banyak akan berbuat demikian jika FIFA memberikan kebenaran kepada England dan Jerman menggunakan lilitan pelangi tersebut.

Pengurus England Gareth Southgate dan kapten Harry Kane membincangkan keputusan untuk memakai lilitan anti diskriminasi OneLove di Qatar.

Kebenaran FIFA diperlukan untuk memakai lilitan lengan khas itu. Kumpulan Kerja UEFA di Qatar meminta kebenaran FIFA tiga minggu lalu dan sedang menunggu jawapan.

Kempen itu seolah olah sengaja mahu mencabar Qatar sebagai sebuah negara yang menentang LGBTQ+. Namun Qatar sudah menyatakan bahawa mereka terbuka menerima sesiapa sahaja berkunjung ke negara tersebut walaupun mereka dari golongan mengamalkan hubungan sejenis.

Cuma Qatar menasihati agar golongan tersebut tidak terlalu terang terangan menunjukkan orientasi mereka kepada umum kerana masyarakat di negara tersebut mungkin akan bertindak agresif ke atas mereka.

Satu delegasi daripada kumpulan itu akan bertemu FIFA di Zurich pada hari Rabu dan akan meminta kemas kini daripada hasil perbincangan tersebut.

Delegasi itu juga akan membincangkan penubuhan dana pampasan untuk pekerja asing dan keluarga mereka dan penubuhan pusat kebajikan di Doha untuk pekerja asing.