Terdapat persoalan daripada ramai peminat Manchester City, sama ada kelab itu boleh melawan pertuduhan ke atas mereka di Mahkamah Timbang Tara Sukan atau CAS? Jawapannya tidak boleh.

City nafi kesemua pertuduhan

Manchester City telah menafikan kesemua pertuduhan ke atas mereka oleh Premier League yang mengenakan pertuduhan lebih 100 salah laku kewangan oleh kelab itu.

Pada Isnin, juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu mengakui terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Premier League yang mendakwa bahawa siasatan selama lebih 4 tahun itu mendapati kelab tersebut melakukan pelbagai kesalahan.

TERKINI: Manchester City Disiasat Langgar FFP Dan Berdepan Pemotongan Mata

Dalam kenyataan yang sama, City juga menyatakan mereka juga tidak sabar untuk menyelesaikan isu ini kerana mereka memiliki bukti yang mencukupi dan konkrit untuk melawan kesemua dakwaan ke atas mereka.

Manchester City dituduh melakukan kesalahan melibatkan salah urus kewangan itu bermula 2009 sehingga 2018.

Kesalahan tersebut termasuk laporan kewangan, keuntungan dan kemampanan. Seterusnya berkaitan dengan gaji pemain dan pengurus serta kegagalan dalam memberikan kerjasama ketika siasatan.

Bukan itu sahaja, Man City turut didakwa gagal menepati piawaian perlesenan kelab UEFA serta melanggar peraturan FFP dalam beberapa siri kesalahan yang disenaraikan.

Manchester City menegaskan mereka kecewa dengan pengumuman dakwaan pelanggaran peraturan Liga Perdana Inggeris ini, terutamanya sekali kelab telah mematuhi kesemua piawaian yang telah ditetapkan, menurut kenyataan mereka.

City dalam kenyataan rasminya menulis: “Kelab mengalu-alukan kehadiran Suruhanjaya Bebas untuk mengkaji perkara ini, untuk mempertimbangkan dengan cara yang adil semua bukti yang tidak dapat dinafikan yang ada untuk menyokong kedudukan kelab.”

“Justeru, kami berharap kes ini dihentikan buat selama-lamanya,” jelas kenyataan itu lagi.

City pernah menang kes di CAS

Pada Februari 2020 yang lalu, Man City dijatuhi hukuman larangan dua tahun daripada menyertai pertandingan Eropah oleh UEFA dan denda €30 juta.

Tetapi pada Julai 2020 hukuman itu telah dibatalkan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dan denda dikurangkan kepada hanya €10 juta sahaja.

Ini kerana pada masa itu, CAS menyatakan bahawa beberapa tuduhan terhadap Man City yang dianggap telah tamat tempoh, jadi UEFA tidak berhak untuk menghukum mereka.

Manchester City tak boleh guna CAS cabar keputusan Premier League

Bagaimanapun, ketika ini, peraturan oleh CAS ini tidak terpakai kepada Liga Perdana Inggeris, yang terus menjalankan siasatan sehingga pertuduhan didedahkan kepada umum bermula 4 tahun lalu, menurut mereka.

Oleh itu Man City tidak boleh merayu sebarang keputusan daripada hasil siasatan ini di CAS, jika mereka didapati bersalah pada kali ini – sebagaimana mereka pernah lakukan ketika melawan pertuduhan daripada UEFA.

Hal ini kerana peraturan EPL menyatakan bahawa kesemua salah laku yang dikenanak oleh Premier League tidak boleh dirayu di CAS.

Namun koresponden Henry Winter menjelaskan itu bukan bermakna, kes ini memang tak akan ada peluang langsung dibawa ke CAS, cuma ianya akan memakan proses yang sangat panjang kerana kesemua kelab sudah menandatangani perjanjian khas di bawah Premier League.

Henry Winter menjelaskan: “Jika pertuduhan tersebut dibuktikan oleh suruhanaya bebas, Manchester City boleh merayu keputusan itu pada satu lagi panel bebas.”

“Jika City didapati tidak bersalah, Premier League turut boleh merayu keputusan tersebut.”

“Di bawah peraturan Premier League, kelab tidak boleh merayu di CAS ataupun FA.”

“Boleh pergi ke mahkamah timbang tara sukan, namun prosesnya sangat panjang.”

Jika didapati bersalah, Man City akan berdepan hukuman berat. Ini termasuk denda yang sangat tinggi. Kemudian berisiko dipotong mata seperti mana yang berlaku kepada Juventus di Serie A.

Paling teruk adalah disingkirkan terus daripada Liga Perdana Inggeris pada musim akan datang.