Pasukan yang akan bertanding dalam saingan Liga Malaysia musim 2023 sedang rancak dengan pelancaran jersi masing-masing yang bakal digunakan bagi menghadapi saingan musim ini.

Tidak ketinggalan dua pasukan iaitu Selangor dan Terengganu dimana baru-baru ini kedua-dua pasukan melancarkan jersi ‘home’ dan ‘away’ terbaru mereka.

Lebih manis apabila jersi away Selangor dan away Terengganu mendapat perhatian salah satu collector terkenal dan penjual jersi klasik dari United Kingdom iaitu Classic Football Shirts.

Classic Footbal Shirts memuji rekaan jersi away Terengganu yang menggunakan corak warna hijau sebagai warna utama dan sedikit warna keemasan di jersi mereka.

Selain itu, CFS turut kagum dengan rekaan jersi away pasukan Selangor yang turut menggunakan warna hijau sebagai warna utama dan ditambah dengan warna keemasan selain warna merah di beberapa bahagian jersi.

Bagi Terengganu, ini bukan kali pertama jersi mereka mendapat perhatian dari komuniti jersi dunia dimana sebelum ini jersi bertemakan denim pasukan itu menarik perhatian salah sebuah media antarabangsa.

Pengeluar rasmi jersi kelab, Umbro tampil kelainan pada pra musim kali ini dimana mereka mengambil ilham daripada jersi yang digunakan oleh kelab Perancis, Marseille pada 2013 dengan menggunakan corak denim pada jersi tersebut.

Selangor Terengganu
Sumber Gambar: Terengganu FC

Rekaan jersi kelab tersebut nyata mendapat perhatian media antarabangsa salah satunya ialah Footy Headline yang sentiasa membawa berita terkini mengenai jersi bola sepak dari seluruh dunia.

“Jersi baharu Terengganu sememangnya mempunyai warna denim dan kombinasi hitam dan putih untuk perincian logo, kolar, bahu dan lengan. Terdapat juga reka bentuk seperti poket yang menarik tepat pada logo Umbro di bahagian hadapan sebelah kanan. Untuk melengkapkan lagi kombinasi ini, kelab itu juga memakai seluar pendek hitam dan sarung kaki berwarna denim,” katanya.