Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) gagal menggunakan kelebihan dihadiahkan dua sepakan penalti di setiap babak apabila terikat 1-1 pada aksi menentang Selangor FC, sebentar tadi.

JDT bermula dengan langkah meyakinan selepas Bergson Gustavo Da Silva mendapat umpanan cantik dilakukan Arif Aiman Mohd Hanapi seawal minit keempat.

Bagaimanapun, tandukan dalam kawasan penalti daripada pemain kelahiran Brazil itu sedikit melewati palang gol.

Berselang empat minit kemudian, tuan rumah tersentak buat seketika susulan jaringan pembukaan yang dihasilkan penjaring terbanyak Liga Super musim lalu, Ifedayo Olusegun Omosuyi.

Jaringan tersebut berpunca daripada hantaran baik Oliver Buff sekali gus memberikan ruang buat Ifedayo untuk melepasi kawalan pertahanan JDT yang kemudiannya berjaya menewaskan penjaga gol, Farizal Marlias.

Tersentak dengan jaringan tersebut, JDT memperkemaskan aksi untuk memburu jaringan dan hampir mengikat kedudukan pada minit ke-10 tetapi percubaan Gonzalo Cabrera sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol Selangor.

Bergson meneruskan sentuhan cemerlangnya apabila beliau menghasilkan jaringan penyamaan pada minit ke-12.

Penyerang berusia 30 tahun itu meledakkan rembatan padu dalam kawasan penalti yang gagal dinafikan penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid.

Permainan selepas itu menyaksikan kedua-dua pasukan terlepas peluang untuk berada di hadapan tetapi jaringan Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi pada minit ke-16 dibatalkan selepas beliau berada dalam kedudukan ofsaid.

Cabrera turut menerima nasib sama apabila sepakan penalti yang diambilnya pada minit ke-43 melambung tinggi melewati palang gol.

Tandukan Bergson pada lewat aksi babak pertama setelah menerima hantaran jauh daripada Corbin-Ong juga sekadar singgah di palang gol ketika Khairulazhan sudah pun tertewas.

Memasuki babak kedua, juara tujuh musim berturut-turut itu terus memberikan tekanan buat Selangor dengan asakan hebat diberikan.

Keadaan itu menyebabkan pemain pertahanan muda, Ahmad Zikri Mohd Khalili melakukan kekasaran terhadap Arif Aiman dalam kawasan penalti untuk sekali lagi sepakan penalti buat JDT.

Bagaimanapun, malang terus menimpa JDT apabila sepakan yang diambil Bergson berjaya ditepis dengan cukup cemerlang oleh Khairulazhan.

Penjaga gol utama Selangor itu terus menjadi watak utama pada perlawanan ini apabila beberapa kali beliau menyelamatkan percubaan berbahaya dijelmakan jentera serangan JDT.

Kedudukan 1-1 itu kekal hingga tamat permainan untuk meleburkan rekod kemenangan 100 peratus JDT dalam saingan liga selepas mengharungi empat perlawanan.