Gergasi bola sepak negara, Johor Darul Ta’zim (JDT) melalui pengumuman rasmi di sosial rasmi kelab tersebut, JOHOR Southern Tigers (JST) sebentar tadi telah mengumumkan kerjasama bersejarah bersama pengeluar kereta mewah dari United Kingdom, Aston Martin.

Kerjasama itu juga akan menyaksikan Aston Martin mengeluarkan rekaan edisi terhad bertema JDT untuk rangkaian kereta mereka yang akan dijual oleh kelab.

“Kami berbangga serta gembira dapat mencapai persetujuan dengan Ibu Pejabat jenama tersebut yang berpusat di United Kingdom dan pejabat Asia,” menerusi satu kenyataan kelab.

“Kerjasama dengan syarikat permotoran British ini bukan sahaja memberikan nilai kewangan kepada JDT, tetapi juga membuka peluang kepada JDT, Johor dan Aston Martin Racing bekerjasama dalam pelbagai bidang untuk tahun-tahun yang akan datang.”

Selain itu menurut JST, Aston Martin HQ juga telah bersetuju untuk mengeluarkan kereta Aston Martin bertema ‘JDT Edition’ untuk dijual di mana keuntungan dari jualan akan dikongsi diantara JDT dan Aston Martin.

Kerjasama ini juga boleh digambarkan sebagai kerjasama antara juara dalam bidang masing-masing dengan skuad Harimau Selatan selaku juara Liga Super tujuh kali berturut-turut manakala Aston Martin pula adalah juara perlumbaan Le Mans Endurance 2020.

JDT adalah juara di padang dengan kejayaan yang konsisten dan mendominasi tajuk-tajuk berita di luar padang dengan infrastruktur berkelas dunia, kekuatan jenama serta hubungan dengan kelab terkemuka antarabangsa, individu, organisasi dan entiti perniagaan.

Aston Martin Racing pula merupakan salah satu jenama antarabangsa yang bekerjasama dengan Harimau Selatan. Antara jenama terkemuka antarabangsa lain yang menjadi penaja dan rakan strategik termasuk UNICEF, Nike, Hublot, Subway, F&N, SWAG EV dan banyak lagi.

Kerjasama dengan jenama-jenama antarabangsa ini juga menunjukkan peningkatan jenama kelab yang hebat dan kukuh sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa sejak JDT ditubuhkan oleh DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor pada 2013.