Johor Darul Ta’zim berjaya merampas kedudukan teratas Liga Super 2019 daripada Pahang setelah berjaya menewaskan pasukan Felda United dengan keputusan 3-1 di Larkin semalam.

JDT mempunyai beberapa peluang keemasan untuk mencipta jaringan pada separuh masa pertama. Namun, percubaan Safawi Rasid dan Azrif Nasrulhaq berjaya ditampan oleh penjaga gol Felda, Norazlan Razali. Separuh masa pertama tamat dengan kedudukan 0-0.

Memasuki separuh masa kedua, JDT mengekalkan rentak menyerang mereka namun kecemerlangan Norazlan menjadi penghalang untuk mereka. Akan tetapi, pada minit ke-60, Felda terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Zahril Azri dilayangkan kad merah.

Pengadil kemudiannya melayangkan kad merah kepada Thiago Aquino kerana bekas pemain Perak itu didakwa sengaja melewatkan permainan. Ketua pasukan Felda, Hadin Azman turut dilayangkan kad merah dimana beliau mempersoalkan keputusan pengadil. Beberapa minit setelah layang kad merah kepada Thiago, JDT membuka tirai jaringan menerusi Gonzalo Cabrera.

Meskipun beraksi dengan lapan pemain, namun perkara itu tidak melunturkan semangat pemain Felda. Mereka berjaya menjaringkan gol penyamaan pada masa tambahan menerusi satu sepakan dari luar kotak penalti yang diambil oleh Jocinei.

Masa tambahan sebanyak 8 minit serta kelebihan dari segi pemain nyata digunakan dengan baik oleh JDT dimana mereka berjaya menjaringkan dua lagi gol menerusi Akhyar Rashid dan Diogo Luis Santo.

Kemenangan semalam membolehkan pasukan bimbingan Luciano Figueroa itu kembali menghuni tangga teratas Liga Super.