Kita sedia maklum bahawa Johor Darul Ta’zim merupakan kelab yang mempunyai fasiliti serta prasarana terbaik antara pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia. Baru-baru ini, menerusi satu post di media sosial rasmi pasukan, kelab tersebut memberikan beberapa kelebihan sekiranya menjadi pemain pasukan tersebut.

Kelebihan yang pertama adalah gaji dan juga bonus pemain dibayar tepat waktu. Dengan kedudukan kewangan yang kukuh, tidak hairanlah gaji serta bonus pemain JDT selalu dibayar dengan tepat waktu. Seterusnya, kemudahan dan fasiliti yang bertaraf dunia serta padang latihan yang berkualiti tinggi.

Pihak kelab juga menyediakan panduan mengenai pemakanan serta diet pemain bagi memastikan keadaan fizikal pemain berada di tahap yang baik ketika hari perlawanan. Selain menyediakan panduan pemakanan dan diet, pihak kelab turut menyediakan rawatan serta program pemulihan yang tersusun.

Seterusnya, jika anda bergelar pemain JDT, maka berkemungkinan besar anda akan beraksi dalam saingan paling berprestij di peringkat kelab di rantau Asia iaitu Liga Juara-Juara Asia (AFC). Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selalu turun padang bagi memeriksa keadaan pemain dan baginda juga seorang yang mengerti bola sepak dan sentiasa memberikan sokongan terhadap pemain dan juga kelab.

Persekitaran bagaikan keluarga juga anda bakal rasai sekiranya menyertai JDT. Juara lima kali Liga Super berturut-turut itu juga selalu dahagakan kejuaraan dan pada akhirnya, selalu muncul sebagai pemenang. Pencapaian JDT di peringkat liga domestik dan juga antarabangsa sudah cukup untuk dijadikan sebagai bukti.

Persekitaran profesional yang merangkumi setiap aspek. Tak kira apa saja yang mahu dilakukan, semuanya disusun dengan profesional dan teliti. JDT juga menjelaskan sukan bola sepak merupakan matlamat utama dan bukannya politik seperti yang dijalankan oleh pasukan lain dalam Liga Malaysia.

Selain itu, jika anda menjadi sebahagian daripada JDT Family, anda akan sentiasa berada dalam projek revolusi yang tiada sempadan.

Itulah dia antara kelebihan yang anda akan terima jika beraksi bersama Johor Darul Ta’zim. Tidak dinafikan mereka sememangnya berada 1 langkah dihadapan berbanding pasukan-pasukan lain.

Apa pendapat anda mengenai kelebihan yang disenaraikan oleh JDT ? Pemain manakah yang akan menyertai mereka pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia yang akan dibuka pada Mei ?