Drama di antara Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) nampaknya masih belum berakhir apabila Presiden Bola Sepak Kedah (KFA) itu mendakwa Harimau Selatan masih belum bayar pampasan perpindahan Akhyar Rashid pada tahun 2018 lalu.

Sanusi berkata, kelab terkaya itu hanya membeli pemain bintang untuk diletakkan dibangku simpanan tetapi masih belum menjelaskan bayaran pampasan yang setimpal kepada pasukan Kedah.

“Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memutuskan bahawa mereka (JDT) perlu membayar kepada Kedah, tetapi mereka masih belum menjelaskan bayaran itu, bagi saya ini aneh memandangkan mereka mendakwa sebagai kelab kaya.

“Dia ajak saya turun ke sana untuk selesaikan isu ini tetapi saya enggan, saya tidak buat apa-apa silap jadi kenapa perlu ke sana. Kami mungkin miskin, tetapi kami tetap berbangga dan jangan sesekali memandang rendah pasukan miskin,” katanya dipetik dalam Berita Harian.

Bagaimanapun, JDT dalam satu kenyataan rasmi hari ini menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkan Sanusi membuat tuduhan yang tidak berasas serta mengundang fitnah. Mereka telah membayar RM100,000 berbanding jumlah asal iaitu RM75,000 namun KFA telah memulangkan semula bayaran tersebut.

“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) terkejut dengan tuduhan tidak berasas oleh presiden Kedah FA, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengenai JDT tidak menjelaskan bayaran selepas menandatangani seorang pemain.

“Untuk rekod, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah memutuskan bahawa yuran pembangunan pemain sebanyak RM75,000 perlu dibayar oleh mana-mana kelab yang menandatangani Akhyar Rashid selepas pemain itu menamatkan kontrak beliau dengan Kedah. JDT bersetuju untuk membayar lebih dan telah mengeluarkan sekeping cek kepada Kedah sebanyak RM100,000 pada 31 Disember 2018.

“Cek ini bagaimanapun telah dipulangkan oleh Kedah kerana mereka mahu membuat rayuan berkenaan perkara ini. Mahkamah Timbang Tara kemudiannya telah membuat keputusan bahawa yuran pembangunan itu tidak diperlukan dan membatalkan keputusan yang dibuat oleh FAM.

“Tidak ada keputusan selanjutnya atau tuntutan yang dilakukan Kedah terhadap JDT. Niat kami adalah jelas dan kami ingin menasihati Presiden Kedah FA yang juga Menteri Besar supaya tidak membuat tuduhan tidak berasas,” Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards.

Baca artikel lain tentang perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah. 

Pemuda PAS Mohon Maaf Kepada TMJ Kerana Sikap Nakal Sanusi

Kerteh FC Jual Beras Sebagai Produk Terbaharu Kelab, Kerjasama Dengan IKS Tempatan Untuk Kukuhkan Jenama

KL City Rancang Naturalisasikan Romel Morales

Tidak Sengaja Pijak Kaki Amri, Syamim Yahya Mohon Maaf