Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) hari ini telah mengumumkan kerjasama strategik bersama Universal Music South East Asia (UM SEA) dan Def Jam Recordings SEA dalam menghasilkan ‘Pioneers’ sebagai lagu rasmi kelab tersebut bagi tahun 2022.

Lebih menarik untuk diperkatakan, lagu ciptaan SonaOne itu telah dipersembahkan oleh ikon hip-hop global, Snoop Dogg dan penyanyi rap terkenal tanah air, Joe Flizzow yang juga merupakan Presiden Def Jam Recordings SEA.

Kerjasama terbaharu ini dalam usaha membentuk sebahagian daripada strategi penjenamaan global JDT yang lebih luas dan akan dibangunkan bersama UM SEA.

Difahamkan, pihak Universal Music Malaysia akan menjadi rakan kongsi pengedaran muzik eksklusif untuk single itu yang mana ia sudah boleh didapati di platform penstriman digital di seluruh dunia, mulai esok bersamaan 18 Mac 2022.

Nada inspirasi lagu ini membolehkan peminat menyalurkan dan menghargai intipati nilai skuad Harimau Selatan tersebut iaitu mentaliti kemenangan, inovasi, disiplin dan kecemerlangan di peringkat tertinggi.

Malah, ia juga merupakan peristiwa bersejarah bagi perjalanan juara Liga Super lapan musim berturut-turut itu sekali gus menjadikan sebagai kelab bola sepak yang diiktiraf global dimana peminat antarabangsa JDT juga semakin bertambah.

Sehubungan dengan kerjasama strategik tersebut, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor yang juga pemilik JDT bersama Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim telah menandatangani perjanjian pengedaran lagu tersebut di Bilik Sidang Media, Ibu Pejabat JDT, Iskandar Puteri, sebentar tadi.

“Mempunyai legenda hip hop yang luar biasa seperti Snoop Dogg untuk menyanyikan lagu rasmi JDT 2022 bersama artis dari Johor, Joe Flizzow adalah kolaborasi yang mantap.”

“Kami berharap bahawa ‘Pioneers’ akan menandakan permulaan lebih banyak antara JDT dan Universal Music pada tahun-tahun yang akan datang,” ujar Tunku Ismail.

© 2022 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group