Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT FC) dan Malaysia Airlines Berhad (MAB) hari ini telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) yang menunjukkan komitmen antara dua jenama global itu dalam memartabatkan persada bola sepak tempatan ke tahap tertinggi.

Dengan kerjasama yang terjalin itu, Malaysia Airlines akan dilantik secara eksklusif sebagai rakan kongsi syarikat penerbangan rasmi untuk JDT, membawa pasukan tersebut ke perlawanan di seluruh Malaysia dan mewakili negara di peringkat antarabangsa.

Selain itu ia bertindak sebagai peluang penjenamaan bersama dalam hak dagangan dan penglibatan pelanggan melalui pemerhatian dan pengalaman.

Kerjasama bersejarah itu telah dimeterai DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor yang juga pemilik JDT bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAB, Kapten Izham Ismail di Bilik Sidang Media, Ibu Pejabat JDT, Iskandar Puteri.

Kredit Foto: JOHOR Southern Tigers

Susulan dengan itu, Malaysia Airlines dan JDT juga akan mendukung visi bersama mereka dalam memartabatkan senario bola sepak Malaysia melalui kerjasama idea dalam penjenamaan dan hospitaliti, di peringkat domestik dan antarabangsa.

“Kami berbesar hati kerana diberi kepercayaan untuk menjadi rakan penerbangan rasmi kelab bola sepak terkemuka di Malaysia,” ujar Kapten Izham.

“Terdapat sinergi yang amat jelas antara Malaysia Airlines dan JDT kerana kedua-dua jenama ini mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa dan kedua-duanya juga berusaha untuk menyediakan layanan bertaraf dunia.”

“Dengan kerjasama ini, ia akan memberikan kami platform untuk terus membina kekuatan antara satu sama lain dan kami sangat teruja untuk memulakan perjalanan ini dengan rakan kongsi baharu kami yang terus menjadi perintis dalam bola sepak Malaysia.”

“[JDT] memecahkan rekod dan membuktikan bahawa sebuah kelab bola sepak Malaysia boleh menjadi tarikan kepada rakan kongsi yang terkenal di peringkat antarabangsa,” tambah Izham lagi.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia:

JDT Lancar Jersi Musim 2022, Turut Tampil Dengan Versi Wanita & Kanak-Kanak

Maguire Nafi Konflik Jawatan Kapten Dengan Ronaldo

EPL: Liverpool Bangkit Bergaya Di Anfield, Luis Diaz Buka Akaun Gol