Seperti dilaporkan sebelum ini, kancah bola sepak tanah air dikejutkan dengan berita mengenai ketua pasukan Selangor, Brendan Gan yang disahkan menghidap penyakit kanser testis.

Brendan yang juga merupakan sandaran utama jentera tengah skuad kebangsaan, telah menjalani pembedahan untuk mengeluarkan ketumbuhan tersebut dan menurut sumber Selangor FC, beliau kini sedang dalam pemantauan pakar perubatan.

Sekiranya kita membicarakan tentang pemain kacukan Malaysia-Australia ini sudah pastinya kegigihan beliau dalam bangkit melawan dugaan yang melanda kariernya akan bermain di bibir para peminat bola sepak Malaysia.

Kecederaan ACL menghantui Brendan Gan

Selain penyakit yang baharu sahaja dihidapinya, seperti diketahui ramai, Brendan sebelum ini berjaya bangkit daripada dua kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) yang dialaminya.

Kali pertama pemain yang bergelar pemain terbaik perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 itu mengalami kecederaan ACL adalah pada tahun 2015 ketika beliau menyarung jersi Kelantan sewaktu aksi Liga Super menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Lebih perit untuk diperkatakan, kecederaan itu hadir pada perlawanan sulung beliau saingan Liga Super sebagai pemain tempatan yang menyaksikan Brendan terpaksa mengambil keputusan untuk terbang ke Australia bagi menjalani proses pemulihan dengan wangnya sendiri.

Berada di bawah pemantauan fisioterapi skuad bawah 23 tahun Australia, Kieran Rooney dan segalanya berjalan dengan lancar sekali gus memberikan peluang buat Brendan untuk kembali semula ke Kelantan pada Januari 2016.

Kali ini beliau berpeluang untuk membuktikan kemampuan dirinya dengan mempamerkan aksi meyakinkan dalam kempen Liga Super sehingga beliau terpilih untuk menyertai skuad kebangsaan yang ketika itu dibimbing Datuk Ong Kim Swee untuk berhadapan Indonesia.

Aksi di Stadium Manahan, Jawa Tengah yang berlangsung pada 6 September 2016 itu merupakan perlawanan rasmi pertama buat Indonesia selepas Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) menggantung Persatuan Sepak Bola Indonesia (PSSI) ekoran campur tangan kerajaan dalam urusan liga bola sepak di sana.

Hanya sempat beraksi selama 15 minit, Brendan terpaksa dikeluarkan dan keputusan imbasan yang dibuat menunjukkan beliau sekali lagi mengalami kecederaan yang amat ditakuti pemain bola sepak itu.

Perkara yang sama berulang lagi buat Brendan apabila pihak berkaitan tidak menanggung kos rawatan dan pemulihan lutut kirinya sekali gus memaksa Brendan sekali lagi perlu  mengambil keputusan kembali semula ke Australia, juga dengan sumber kewangan sendiri.

Disiplin tinggi ditampilkan dalam menjalani proses pemulihan yang sudah pastinya membuatkan Brendan cukup terseksa itu menerbitkan sinar baharu buat kariernya.

Hal ini kerana barisan pengurusan Perak dan ketua jurulatih pada ketika itu, Mehmed Durakovic berminat untuk mendapatkan khidmatnya bagi menghadapi musim 2018.

‘Usaha tidak akan mengkhianati hasil’, itulah kata-kata yang boleh menggambarkan perjalanan karier Brendan Gan selepas mengalami dua kecederaan ACL apabila beliau begitu cemerlang dalam mengemudi jentera tengah Perak bersama Leandro Dos Santos.

Sehubungan dengan aksi menariknya bersama Perak sehingga berjaya membantu pasukan tersebut muncul juara Piala Malaysia 2018, Brendan kembali mendapat tempat bersama skuad kebangsaan dan menjadi pilihan utama pengendali, Tan Cheng Hoe.

Selepas bersama Perak, perjuangan Brendan diteruskan di Selangor dan seperti diketahui, beliau kini diuji dengan satu lagi cabaran besar buatnya dalam bergelar pemain bola sepak.

Seperti yang dilaporkan Selangor FC, Brendan berada dalam keadaan cukup positif dengan menyimpan tekad besar untuk kembali beraksi dan menjelaskan beliau tidak sabar bagi kembali menyertai pasukan.

Selain itu, tinjauan di laman sosial peribadi milik pemain berusia 33 tahun itu juga memperlihatkan beliau begitu bersemangat untuk ‘melawan’ dengan penyakit tersebut.

Setiap pemain atau atlet pasti mempunyai pelbagai cerita berbeza mengenai kisah kebangkitan dalam karier mereka tetapi apa yang sedang dialami Brendan pada ketika ini sekali lagi memerlukan pengorbanan besar daripadanya.

Seluruh peminat bola sepak tanah air sentiasa bersama anda. Semoga cepat sembuh, Brendan Gan!