Persekutuan bola sepak Iran (FFIRI) meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan pasukan kebangsaan Amerika Syarikat (AS) mengubah bendera negara mereka dengan memadam perkataan ‘Allah’.

Bendera Republik Islam Iran terdiri daripada tiga jalur mendatar berwarna merah, putih dan hijau dengan perkataan “Allah” diletakkan di bahagian tengah.

Iran menyifatkan ia adalah tindakan yang tidak profesional dan dianggap sebagai satu provokasi murahan menjelang pertembungan Piala Dunia 2022 Qatar antara kedua-dua negara pada pukul 3 pagi ini waktu Malaysia.

Justeru itu, mereka membuat aduan rasmi kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan berharap AS disingkirkan dengan segera.

“Dalam satu tindakan tidak profesional, laman Instagram persekutuan bola sepak AS mengeluarkan simbol Allah daripada bendera Iran.

“Persekutuan bola sepak Iran menghantar e-mel kepada FIFA menuntut badan induk bola sepak dunia itu memberi amaran serius kepada persekutuan AS,” lapor agensi berita Reuters.

Akaun Twitter pasukan AS memaparkan sepanduk dengan perlawanan skuad itu di peringkat kumpulan, dengan bendera Iran hanya mengandungi warna hijau, putih dan merah.

Perkara sama dilihat dalam catatan di akaun Facebook dan Instagram mereka yang memaparkan kedudukan terkini dalam Kumpulan B yang turut disertai England dan Wales.

Bagaimanapun, laman sosial rasmi pasukan bola sepak AS kembali mengubah bendera Iran kepada bentuk asal selepas menerima aduan rasmi tersebut.

Persekutuan Bolasepak Amerika Syarikat (USSF) dalam satu kenyataan menjelaskan sebab sebenar tidak menyiarkan bendera rasmi Iran di akaun media sosial sebagai menunjukkan solidariti terhadap “wanita di Iran yang memperjuangkan hak asasi manusia” berikutan kematian gadis Iran berusia 22 tahun, Mahsa Amini ketika dalam tahanan polis.

“Kami mahu menunjukkan sokongan kami kepada wanita di Iran dengan grafik kami selama 24 jam,” kata persekutuan itu.

Agensi berita Tasnim dari Iran menyatakan di Twitter, pasukan AS “melanggar piagam FIFA, yang mana penggantungan 10 perlawanan adalah penalti yang sesuai”.

Pasukan AS “harus disingkirkan” daripada Piala Dunia, katanya. Bagaimanapun, FIFA dijangka tidak mengambil tindakan sedemikian.