Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Pemain pertahanan Selangor, Harith Haiqal tidak dapat beraksi bersama skuad B-22 tahun negara dalam saingan peringkat kelayakan AFC B-23 yang bakal bermula pada lewat bulan ini.

Menurut perkongsian Youth Football Malaysia di laman media sosial Twitter, Harith tidak beraksi bersama skuad B-22 tahun negara kerana tidak mendapat pelepasan dari kelabnya iaitu Selangor.

Youth Football Malaysia menegaskan bahawa benteng pertahanan negara mampu untuk menampilkan prestasi terbaik sekiranya dibarisi oleh tiga pemain iaitu Zikri Khalili, Harith Haiqal dan Firdaus Ramli atau seorang lagi pemain iaitu Azrin Afiq Rusmini.

Akan tetapi, khidmat Harith tidak dapat digunakan kerana Selangor ketika ini dikhabarkan sedang mengalami masalah di bahagian pertahanan dan mereka mahu menggunakan khidmat pemain berusia 19 tahun itu dalam saingan Piala Malaysia.

Selain Harith, seorang lagi pemain yang tidak mendapat pelepasan dari pihak kelab ialah pemain sayap, Arif Aiman Hanapi yang beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT).

Semalam, skuad B-22 tahun negara mengadakan perlawanan persahabatan menentang juara Liga Premier iaitu Negeri Sembilan dimana aksi tersebut dimenangi oleh skuad bimbingan K.Devan dengan keputusan 2-1.

Azhad Harraz membuka tirai jaringan pada minit ke-11 dan Negeri Sembilan menjaringkan dua gol pada separuh masa kedua menerusi Alain Akono dan R.Barathkumar.

Pasukan negara dijadualkan bertemu Penang pada Jumaat ini dan kemudiannya Kedah Darul Aman (KDA) pada Isnin depan sebelum berlepas ke Ulaanbaatar, Mongolia pada 20 Oktober bagi menghadapi saingan kelayakan dari 25 hingga 31 Oktober ini.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia di sini:

Piala Malaysia: Amer Azahar Tekad Tamatkan Penantian 47 Tahun

Hanya 5,000 Hingga 20,000 Penyokong Dibenarkan Masuk Ke Stadium

TRW Kelantan Tamatkan Kontrak Mario Arques

Anda Mungkin Suka

© 2021 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group