Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Tugas sukar sedang menanti skuad Harimau Malaya sepanjang kempen Piala Suzuki AFF 2020 yang bermula pada minggu depan apabila tiga pemain dilaporkan tidak dapat menyertai pasukan selepas tamat final Piala Malaysia 2021.

Dua pemain tengah KL City iaitu Akram Mahinan dan Kenny Pallraj disahkan mengalami kecederaan serius manakala seorang pemain dari JDT, Mohamadou Sumareh tidak menyertai sesi latihan kerana masalah peribadi.

Situasi tersebut menyebabkan skuad Harimau Malaya kini kekurangan pemain tengah untuk menghadapi lawan dalam kumpulan B iaitu Vietnam, Kemboja, Laos dan Indonesia.

Perkembangan itu didedahkan oleh Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe kepada pemberita ketika sesi latihan skuad negara di Kompleks Sukan PKNS, semalam. Bagaimanapun, beliau juga tidak akan memanggil pemain lain untuk menggantikan tempat Akram dan Kenny.

“Dua pemain daripada Kuala Lumpur tidak dapat bersama skuad kebangsan kerana berhadapan kecederaan agak serius.

“Tidak akan panggil pengganti dan akan beri tumpuan kepada pemain sedia ada. Kedua-dua pemain berkenaan tidak dapat pulih dalam masa terdekat sekali gus mengharapkan pemain lain bersedia daripada segi mental dan fizikal.

“Sekarang ini, hanya ada Baddrol Bakhtiar, Syafiq Ahmad, dan Mukhairi Ajmal serta beberapa pemain lain seperti Junior Eldstal untuk menggalas cabaran di bahagian tengah,” kata Cheng Hoe dipetik dalam Harian Metro. 

FOTO: FAM

Selain Sumareh, pemain tengah berpengalaman, Baddrol Bakhtiar turut diberikan cuti untuk melawat abangnya yang meninggal dunia.

“Kita dapat perkhabaran Sumareh tidak dapat bersama kerana ada isu peribadi dan beri dia satu hari. Kita berharap dia akan datang nanti sementara Baddrol pula balik cuti kerana abangnya meninggal dunia,” katanya.

Daripada 28 pemain yang mendapat panggilan ke kem latihan pusat, jumlah itu kini berkurangan kepada 25 orang. Selain Akram dan Kenny, penyerang PJ City, Darren Lok turut digugurkan kerana kecederaan.

Bagi pemain-pemain yang berpangkalan di luar negara, mereka akan melapor diri mengikut tarikh pelepasan yang diberikan oleh kelab masing-masing.

Cheng Hoe hanya akan menyenaraikan seramai 24 pemain untuk skuad akhir ke Piala Suzuki AFF 2020 yang mana skuad Harimau Malaya dijadual berlepas ke Singapura pada Jumaat, 3 Disember 2021.

Baca juga artikel lain mengenai perkembangan Harimau Malaya melalui pautan dibawah.

Takut Keletihan Punca Arif Aiman Tidak Dipanggil Sertai Skuad Harimau Malaya

Aidil Zafuan Dipilih Berdasarkan Pengalaman Di Pentas Antarabangsa

Harimau Malaya Diberi Sasaran Layak Ke Final Piala Suzuki AFF 2020

Piala Suzuki AFF 2020: Harimau Malaya Akan Beraksi Di Stadium Bishan