Tumpuan ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe pada sesi latihan pusat yang bermula hari ini sehingga 30 Mac pasti akan sedikit terarah kepada dua pemain muda, Luqman Hakim Shamsuddin dan Muhammad Ramadhan Saifullah Usman.

Kedua-dua pemain sedang meningkat naik tersebut mendapat peluang lebih luas untuk membuktikan kualiti mereka apabila turut tersenarai bersama 26 pemain lain bagi menyertai sesi latihan di Johor Bahru itu.

Menurut sumber Bernama, Tan Cheng Hoe menegaskan keupayaan semasa yang ditampilkan Luqman dan Ramadhan menjadi perkiraannya dalam menyenaraikan kedua-dua pemain tersebut.

Cheng Hoe turut melihat faktor usia Luqman dan Ramadhan yang masih muda tidak langsung menjadi masalah buatnya dalam memberikan peluang tersebut sebaliknya beliau melihat potensi kedua-dua bakat besar itu.

Hal ini kerana bagi beliau tidak ada masalah sekiranya pemain yang terpilih mampu memberikan sumbangan berkesan buat negara tanpa mengira usia mereka.

Ramadhan Saifullah
Aksi Ramadhan berjaya curi perhatian Cheng Hoe. Kredit foto: JOHOR Southern Tigers

“Kita nampak mereka ada potensi yang besar untuk menjadi sebagai penyerang  utama skuad kebangsaan di masa hadapan. Bagi saya, walaupun umur 16 tahun atau 35 kalau boleh beri sumbangan kepada pasukan, saya langsung tak ambil kira [soal usia].”

“Apa yang penting apabila datang ke pasukan kebangsaan, boleh bekerja sebagai satu pasukan dan saling menghormati. Itu kunci kejayaan pasukan.”

“Kita tidak boleh hanya terlalu fokus terhadap kebolehan individu sahaja,” ujar Tan Cheng Hoe menurut laporan Bernama.

“Terdapat kemajuan dan peningkatan dari segi keyakinan beliau (Luqman Hakim), selain beliau juga menunjukkan kematangan yang saya fikir dapat menguatkan skuad kebangsaan.”

“Kita nampak dari segi kekuatan [Ramadhan Saifullah] apabila masuk ke dalam perlawanan dan berani berdepan serta menggelecek pihak lawan, beliau juga ada kelajuan, kita mengharapkan sesuatu daripada Muhammad Ramadhan,” tambah Cheng Hoe lagi.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia di sini:

‘Kecewa Dalam Lega’ Buat Yee Fatt Selepas Aksi Bertemu JDT

Kurniawan Anggap Kemenangan Ke Atas Terengganu Cetus Semangat Baharu Pemain

TMJ Gesa Saingan Liga Malaysia Gunakan Khidmat VAR

 

 

 

 

 

 

 

Sumber