Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe mempunyai alasan tersendiri dalam memilih senarai 28 pemain bagi menyertai latihan pusat di Johor Bahru bermula 22 hingga 30 Mac ini walaupun pemilihan beberapa pemain dipertikai para penyokong.

Antara pemilihan pemain yang sudah pastinya menimbulkan kemarahan penyokong skuad negara ialah Guilherme De Paula, Akhyar Rashid, Syameer Kutty Abba, Danial Amier Norhisham dan Mohamadou Sumareh.

Hal ini kerana De Paula yang baharu sahaja disahkan status naturalisasinya pada ketika ini tidak memberikan sumbangan berkesan buat Perak FC manakala empat pemain dari JDT itu tidak mendapat minit perlawanan.

Bagaimanapun menurut sumber The Star, Cheng Hoe jelas tidak terganggu dengan keadaan tersebut, sebaliknya beliau mempunyai sudut pandang peribadi yang menjurus kepada keputusannya memilih pemain-pemain tersebut.

“Para peminat mempunyai hak untuk berdebat tentang perkara ini. Tetapi saya memilih pemain-pemain tersebut kerana saya pernah bekerjasama dengan mereka sebelum ini.”

“Ya, saya tahu ada di antara mereka yang tidak bermain untuk kelab mereka tetapi pemain-pemain ini sudah mengetahui sistem dan taktikal yang saya gunakan.”

“Saya tidak mempunyai banyak masa untuk mencuba pemain-pemain baharu,” ujar Cheng Hoe bercakap kepada The Star.

Dalam perkembangan sama, Cheng Hoe turut meletakkan kepercayaan terhadap De Paula untuk memberikan sesuatu yang positif buat skuad kebangsaan.

“Dia telah membuktikan bahawa dia merupakan salah seorang penyerang terbaik. Mengenai prestasinya pada ketika ini, saya percaya ia berikutan perubahan kejurulatihan Perak.”

“Kita berikan dia peluang dan melihat adakah dia mampu untuk bekerja dengan pasukan. Saya berharap dia akan memberikan segalanya.”

“Dan, selepas saya bercakap dengannya, saya percaya dia mempunyai cita-cita untuk melakukan sesuatu buat kami,” tambah Tan Cheng Hoe lagi.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia di sini:

Dr Pekan Ramli: MFL Perlu Diuruskan Oleh Pakar Korporat

Kipre Tchetche Tidak Pandang Rendah Keupayaan Petaling Jaya City

Jumlah Tontonan Liga Super Malaysia LS3 Lebih 3 Juta, 2 Minggu Berturut-Turut Rekodkan Purata Lebih Setengah Juta

 

Sumber