Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh menawarkan rumput jenis Zeon Zoysia untuk digunakan di stadium di setiap negeri dan perkara ini akan diusulkan kepada exco sukan setiap negeri yang berminat.

Dalam satu laporan Hannah Yeoh menegaskan pihaknya memberikan pilihan untuk memilih satu stadium yang bakal dinaik taraf dengan menggunakan jenis rumput Zeon Zoysia.

“Saya ada memberikan cadangan penawaran geran padanan dan menawarkan untuk memilih satu stadium bola sepak yang mereka mahu naik taraf padang dengan rumput Zeon Zoysia.”

“Naik taraf padang dilakukan oleh pihak KBS dengan pemberian kos penanaman rumput tetapi penyelenggaraan padang setiap bulan perlulah ditanggung oleh kerajaan negeri.

“Selepas semuanya selesai barulah proses penanaman rumput akan dilakukan dan mereka perlu menjaganya pula. Bukan semua negeri mampu dan bukan semua negeri nak rumput ini (Zeon Zoysia),” katanya.

Sebelum ini, pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) menggesa semua pihak mengambil langkah untuk menukar padang stadium masing-masing kepada rumput jenis Zeon Zoysia.

Rumput lembu atau jenis ‘Cowgrass’ tidak sesuai lagi digunakan untuk bola sepak moden. Ia mempunyai akar yang pendek dan daun besar serta lembut sekaligus menyebabkan bola melantun setiap kali melakukan hantaran.

Hannah Yeoh Zeon Zoysia
TMJ

“Kalau nak tunggu pemilik kelab, sampai bila bila rumput lembu. Boleh belanja berpuluh juta setiap tahun tetapi padang RM900K tak boleh buat.

“Baru-baru ini saya ada beri cadangan kepada pemilik kelab. Saya cakap buat masa menunggu stadium baru siap tukar padang stadium yang pakai sekarang. Sekurang-kurangnya apabila stadium baru siap, anda mempunyai dua padang berkualiti.

“Dia jawab FAM kena bantu. Semenjak bila badan induk yang bertanggungjawab atas infrastruktur kelab kita? Tetapi inilah akibatnya apabila ada pemilik dan presiden yang tak minat bola tetapi mengguna bola sepak demi agenda lain. Mindset,” tulis TMJ.

Selain Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) juga dalam proses untuk penukaran rumput kepada jenis Zeon Zoysia yang dijangka siap pada bulan Oktober ini.