Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin telah dipilih sebagai salah seorang daripada lima Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi mewakili Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Dalam Kogres AFC ke-33 yang diadakan di Manama Bahrain itu, Hamidin terpilih bersama Kohzo Tashima (Jepun), Yasser Al-Misehal (Arab Saudi), Sheikh Hamad Khalifa Al-Thani (Qatar) dan Mariano Araneta Jr dari Filipina.

Lima presiden bagi negara masing-masing itu menewaskan dua lagi wakil yang dicalonkan iaitu Mong Gyu Chung (Korea Selatan) dan Du Zhaocai (China) selagi gus bakal menggalas tanggungjawab tersebut bagi penggal 2023-2027.

Dalam undian tersebut, Hamidin yang mula memegang jawatan Presiden FAM pada Julai 2018 mendapat 30 undi untuk meletakkannya di kedudukan kelima dimana Sheikh Hamad mendapat undian terbanyak (40 undi) dan kemudiannya diikuti Kohzo dengan 39 undi.

Menurut sumber yang dikeluarkan laman Facebook rasmi FAM sebentar tadi, Hamidin merupakan wakil keempat dari Malaysia menjadi wakil Ahli Majlis FIFA dimana sebelum ini dikenali sebagai Jawatankuasa Eksekutif FIFA.

Sebelum ini, AL-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin AL Mustaffa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah (2015-2019), Tan Sri Hamzah Abu Samah (1972) dan Lim Kee Siong (1960) dipilih sebagai wakil badan induk bola sepak antarabangsa itu.

Sementara itu, Shaikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa dari Bahrain kekal meneraju AFC sejak mula bergelar presiden sejak 2013.