Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin mendedahkan bahawa penggunaan Video Assistant Referee (VAR) akan diperkenalkan pada tahun ini dalam saingan bola sepak Malaysia.

Menurut Hamidin yang ditemui di Anugerah Ikon Sukan Harian Metro di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), perbincangan mengenai penggunaan VAR telah dibuat tiga bulan lalu.

Namun, menurut beliau lagi penggunaan teknologi yang pastinya akan membantu para pengadil itu akan dilakukan secara berperingkat.

“Sebenarnya perbincangan sudah pun diadakan bersama Pengerusi Malaysian Football League (MFL) Datuk Abd Ghani Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam.

“InsyaAllah kita akan membuat satu pengumuman menerusi Jawatankuasa Pengadil MFL dan kita akan bermula tahun ini kalau semuanya berjalan dengan lancar.

“Tetapi bukan untuk semua perlawanan, mungkin contoh kita mulakan tahun ini untuk VAR ini bermula dengan suku akhir Piala FA dan Piala Malaysia

“Kita akan berterusan jadi perkara ini tidak boleh bermula dengan liga kerana melibatkan kos,” ujar Hamidin lagi.

Tambah Hamidin lagi, FAM juga telah menghantar pengadil keluar negara untuk menjadi jurulatih VAR.

“Jadi kita harapkan peminat semua bersabar,” tegasnya yang memaklumkan kos VAR akan ditanggung bersama dengan MFL.

Perkembangan terkini didedahkah oleh Hamidin itu nyata mampu merintis kepada keputusan yang lebih tepat kerana seperti diketahui mutu pengadilan sentiasa menjadi pertikaian dalam Liga Malaysia.