Pengenalan format Liga Malaysia musim 2023 dengan kempen Piala Malaysia akan dijalankan pada tempoh yang sama dengan Liga Super bakal memberikan cabaran baharu untuk semua pemain.

Situasi itu menuntut semua pemain sentiasa mengekalkan fokus mereka sepanjang musim sambil tidak boleh lagi hanya memilih untuk menumpukan kepada pertandingan tertentu.

Pertahanan Kuala Lumpur City FC, Giancarlo Gallifuoco, berkata, dia melihat perubahan yang dibuat Malaysian Football League (MFL) akan menjadikan saingan lebih menarik dan sukar dijangka.

Malah dia menjangkakan format ini akan memberikan impak positif tersendiri kepada peminat-peminat apabila semua pasukan sentiasa berada di tahap terbaik dalam tiap perlawanan.

“Perubahan yang dibuat oleh MFL ini akan menambahkan lagi kualiti Liga Malaysia kerana pemain tidak boleh ambil ringan sepanjang musim ini.”

” Jika sebelum ini, Liga Super berakhir pada September dan mungkin ada pasukan sudah mencapai sasaran lebih awal seperti tidak berada di kedudukan tercorot, mereka mungkin sudah tidak lagi menumpukan perhatian dan hanya menunggu kejohanan Piala Malaysia.”

” Jadi, melalui situasi ini, pasukan tiada pilihan selain perlu mengekalkan tahap kekuatan yang sama sepanjang musim untuk memastikan momentum mereka di kejohanan seperti Piala Malaysia serta Piala FA, tidak terjejas.”

“Saya juga rasa format ini akan memberikan lebih banyak kebaikan kepada peminat-peminat apabila semua pasukan memperagakan aksi yang konsisten sepanjang musim.”

“Selain itu, pengenalan waktu perlawanan di sebelah petang saya rasa satu pembaharuan yang boleh menarik lebih ramai kehadiran penonton terutama yang berkeluarga.”

“Mungkin ada sedikit kesan kepada pemain pada awalnya tetapi kami akan cuba sepantas boleh untuk menyesuaikan diri,” katanya.

Saingan Liga Malaysia 2023 bakal menjanjikan aksi lebih menarik apabila enam trofi kejuaraan akan menjadi rebutan musim ini bermula dengan Piala Sultan Haji Ahmad Shah (Perlawanan Sumbangsih), Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia, MFL Challenge Cup dan Piala MFL (Liga Simpanan B-23).