Saingan Liga Malaysia 2023 bakal menjanjikan aksi lebih menarik apabila enam trofi kejuaraan akan menjadi rebutan musim ini bermula dengan Piala Sultan Haji Ahmad Shah (Perlawanan Sumbangsih), Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia, MFL Challenge Cup dan Piala MFL (Liga Simpanan B-23).

Penstrukturan baharu Liga Malaysia bermula tahun ini menyaksikan pertandingan Liga Simpanan yang dikenali sebagai Piala MFL diadakan buat kali pertama manakala MFL Challenge Cup dipertandingkan semula selepas tiga tahun sejak dianjurkan pada 2018 dan 2019.

Sejumlah 14 kelab akan merebut kejuaraan dalam saingan Liga Super 2023 iaitu

  1. Johor Darul Ta’zim (JDT)
  2. Terengganu FC
  3. Sabah FC
  4. Negeri Sembilan FC
  5. Selangor FC
  6. Kuala Lumpur City FC
  7. Sri Pahang FC
  8. Kedah Darul Aman FC
  9. Penang FC
  10. Kelantan FC
  11. Kuching City FC
  12. Kelantan United FC
  13. PDRM FC
  14. Perak FC.

Manakala bagi saingan Piala MFL akan disertai skuad bawah 23 tahun daripada kelab Liga Super serta satu pasukan daripada Skuad Projek FAM-MSN.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, hanya 14 pasukan beraksi musim ini selepas dua kelab Liga Super musim lalu, PJ City FC dan UiTM FC sah tidak akan bertanding.

“Bagi musim 2023, sebanyak 14 kelab akan bersaing dalam Liga Malaysia selepas UiTM FC telah menarik diri daripada bertanding kerana gagal mendapatkan dana pasukan manakala PJ City FC gagal menyelesaikan proses pengambilalihan pelabur baharu,” katanya.

Bagi Perlawanan Sumbangsih untuk merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah 2023:

i. Perlawanan ini merupakan perlawanan pertama bagi Pertandingan Liga Super. Pungutan mata perlawanan akan dikira sebagai mata di dalam Liga Super 2023.

ii. Perlawanan melibatkan Johor Darul Ta’zim (Juara Liga Super 2022) melawan Terengganu FC (Naib Juara Liga Super 2022) dan dijadualkan pada 24 Februari 2023.

iii. Venue perlawanan adalah di venue kelab juara Liga Super tahun 2022 iaitu venue Pasukan Tuan Rumah bagi Johor Darul Ta’zim.

iv. Manakala, penentuan pemenang Perlawanan Sumbangsih ini akan ditentukan mengikut susunan berikut:-

a. Kelab yang menang dalam Perlawanan pada masa penuh, dan jika seri;

b. Kelab yang menang penentuan sepakan dari tanda penalti mengikut undang -undang permainan FIFA.

c. Pungutan mata hanya akan dikira mengikut keputusan masa penuh (90 minit) bagi perlawanan tersebut.