Selangor nyata sukar digugat dalam acara futsal saingan Malaysia Sports League (MSL) 2022 selepas muncul juara hasil kemenangan 4-0 ke atas Kedah pada aksi final yang berlangsung di KSL Puchong, Ahad lepas.

MSL merupakan penganjuran kejohanan sukan untuk semua di peringkat komuniti melibatkan beberapa acara sukan seperti futsal, bola jaring, badminton, Sepak Takraw dan Bola Keranjang 3 lawan 3.

Kejohanan yang julung kalinya diadakan itu telah dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dimana setiap pasukan perlu bertanding di peringkat daerah terlebih dahulu dan kemudiannya negeri.

Selangor MAC Bakal Ke Thailand Hadapi Piala Futsal AFF 2022

Difahamkan, kejohanan ini meletakkan syarat bahawa pasukan serta pemain amatur sahaja hanya dibenarkan untuk bertanding. Ini bermakna KBS mahu memberikan peluang kepada muka-muka baharu dalam kancah futsal untuk menonjolkan bakat mereka.

Selangor yang diwakili oleh pasukan ZMFT telah memenangi pertandingan di peringkat daerah Hulu Langat dan kemaraan mereka diteruskan dengan menjuarai saingan grand final negeri untuk membolehkan mereka membawa cabaran negeri ‘Merah Kuning’ tersebut di peringkat kebangsaan.

Kecemerlangan itu diteruskan dengan kemenangan 6-0 ke atas Sarawak, 4-1 bertemu Johor dan 4-3 pada aksi terakhir peringkat kumpulan berdepan Kelantan.

Peringkat seterusnya juga turut memperlihatkan aksi konsisten dipamerkan anak buah Halim Kamarul Bahrain yang mencatatkan kemenangan 4-1 menentang Pulau Pinang (suku akhir), 4-0 bertemu Terengganu di separuh akhir dan kemuncaknya di final Kedah pula menjadi mangsa dengan keputusan yang sama.

Lebih manis, kejayaan Selangor muncul juara turut diserikan lagi dengan pencapaian peribadi Muhammad Nizam Bin Abdullah selaku penjaring terbanyak kejohanan dengan 10 gol.

Dengan kejayaan bermakna tersebut, Selangor meraih hadiah wang tunai RM5,000 berserta piala pusingan.

Kredit Featured Image: KBSMalaysia