Gergasi futsal tanah air, Selangor MAC bakal membawa cabaran negara dalam Piala Futsal Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 yang dijadualkan berlangsung pada 4 hingga 10 September nanti di Nakhon Ratchasima, Thailand.

Ini merupakan kali kedua berturut-turut Selangor MAC beraksi dalam saingan tersebut selepas mendapat tempat ketiga pada edisi 2021.

Turut sama menyertai saingan yang diadakan buat kali ketujuh itu ialah Hongyen Thakam dari Thailand, Bintang Timur Surabaya (Indonesia), Sahako FC (Vietnam), Downtown Sport (Kemboja), MS ABDB Futsal (Brunei) dan wakil Timor Leste, Ramelau FC.

Piala Futsal Malaysia: Dominasi Berterusan Selangor MAC, Pahang Rangers Hampa Lagi

Penilaian di atas kertas menyaksikan Hongyen Thakam, Bintang Timur Surabaya dan Sahako FC merupakan penghalang terbesar buat Selangor MAC untuk melakar kejutan muncul juara.

Hongyen Thakam merupakan naib juara Liga Futsal Thailand musim lalu dan ketika ini menghuni tangga ketiga saingan 2022 dibelakang Chonburi Bluewave dan Port FC manakala Bintang Timur Surabaya yang dibarisi sebahagian besar pemain skuad kebangsaan Indonesia baharu sahaja dinobatkan selaku juara Liga Pro Futsal 2021.

Sementara itu, Sahako FC juga kini sedang memimpin carta Liga Futsal Vietnam 2022 dengan rekod tanpa kalah selepas mengharungi lapan perlawanan susulan enam kemenangan dan dua keputusan seri.

Matheus Vasconcelos Silva sandaran utama Selangor. Kredit Foto: Selangor MAC

Bagaimanapun, cabaran daripada Downtown FC, MS ABDB Futsal dan Ramelau juga tidak boleh dipandang enteng berikutan peningkatan prestasi yang dipamerkan ketiga-tiga negara tersebut dalam kempen Kejuaraan Futsal AFF 2022, April lalu.

Sebagai rekod, wakil dari Thailand mengungguli kejuaraan sejak daripada edisi pertama dimana Port FC memenanginya sebanyak tiga kali berturut-turut (2015 hingga 2017). Edisi 2018 menyaksikan Bangkok BTS muncul juara dan Chonburi Bluewave menjulang trofi tersebut bagi tahun 2019 dan 2021.

Sahako FC cemerlang dalam saingan Liga Futsal Vietnam 2022.

Setiap pasukan bertanding boleh mendaftarkan tiga orang pemain import dimana salah seorangnya wajib daripada kalangan pemain dari Asia Tenggara.

Ini bermakna, Selangor MAC yang sudah memiliki Matheus Vasconcelos Silva (Brazil) masih boleh menyenaraikan dua lagi pemain import.

Selangor MAC yang merupakan juara Liga Premier Futsal Malaysia dan Piala Futsal Malaysia 2022 mendapat tonik berguna apabila baharu sahaja mengumumkan kehadiran pengendali dari Brazil, Carlos Alberto De Siqueira Lima Aranha untuk menghadapi saingan serantau ini.