Black Steel FC Papua meraih kemenangan kedua dalam Kejuaraan Futsal Kelab AFF 2023 selepas berjaya menundukkan wakil Vietnam, Thai Son Nam 4-1 pada aksi yang berlangsung di Terminal 21 Korat, Thailand sebentar tadi.

Kemenangan itu sekali gus menjadikan Black Steel selaku juara kumpulan B dimana mereka turut meraih tiga mata pada aksi sulung semalam bertemu Football Victoria Futsal.

Kelab gergasi Indonesia itu tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Samuel Amos Ronsumbre berjaya menolak masuk bola melepasi celah kaki penjaga gol lawan, Ho Van Y seawal minit ketiga.

Van Y kemudiannya dikerah untuk bekerja keras susulan serangan bertubi-tubi dilancarkan pemain Black Steel terutamanya menerusi Evan Soumilena.

Anak buah Rakphol Sainetngam mengukuhkan kedudukan pada minit ke-10 selepas Guntur Sulistyo yang tidak dikawal pemain Thai Son Nam menolak masuk bola dengan mudah hasil hantaran lintang menerusi sepakan penjuru oleh Ardiansyah Nur.

Nhan Gia Mung memberikan harapan buat Thai Son Nam ketika memasuki minit ke-25 apabila beliau melakukan larian di belakang pertahanan lawan lalu menyempurnakan peluang terhidang.

Jaringan tersebut jelas menyemarakkan api perjuangan skuad kendalian Nicolas Gustavo Gulizia itu dengan menjelmakan empat serangan berbahaya ke arah pintu gol Black Steel.

Bagaimanapun, Muhammad Albagir cukup kental bertahan untuk menghalang gawangnya daripada dibolosi sekali lagi.

Sebaliknya, Evan Soumilena menambah jaringan ketiga menerusi percubaan voli dalam keadaan kelam-kabut dihadapan pintu gol Thai Son Nam.

Tertekan dengan jaringan itu, Gulizia menggunakan taktikal ‘Power Play’ tetapi ia tidak membuahkan hasil sehingga menyebabkan Ardiansyah Nur mengambil kesempatan susulan kesilapan pemain Thai Son Nam untuk mengesahkan kemenangan 4-1.