Kelab gergasi futsal tanah air, Pahang Rangers bakal mengibarkan bendera Malaysia dalam Piala Futsal Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2023 yang dijadualkan berlangsung pada 1 hingga 7 Mei nanti di Thailand.

Ini merupakan kali kedua Pahang Rangers berpeluang beraksi dalam saingan tersebut selepas turut serta menyertai kejohanan itu pada edisi 2021 yang turut berlangsung di Nakhon Ratchasima.

Turut sama menyertai saingan yang diadakan buat kali kesembilan itu ialah Hongyen Thakam dari Thailand,  Black Steel Papua (Indonesia), Thai Son Nam (Vietnam), VUC Futsal Club – Victoria University College (Myanmar) dan Football Victoria Futsal (Australia).

Difahamkan, majlis undian untuk memisahkan enam kelab tersebut kepada dua kumpulan akan diadakan pada hari ini.

Setiap pasukan bertanding boleh mendaftarkan tiga orang pemain import dimana salah seorangnya wajib daripada kalangan pemain dari Asia Tenggara.

Penilaian di atas kertas menyaksikan Hongyen Thakam, Black Steel Papua dan Thai Son Nam merupakan penghalang terbesar buat Pahang Rangers untuk melakar kejutan bagi mengintai peluang muncul juara.

Meskipun tidak mempunyai nama-nama besar dalam pasukan tersebut, Hongyen Thakam dibarisi pemain berkualiti dimana ia dibuktikan apabila mereka menamatkan saingan Liga Futsal Thailand pada musim lalu di kedudukan kedua.

Sementara itu, Black Steel Papua pula menyandarkan harapan kepada barisan pemain kebangsaan Indonesia seperti Holypaul Septinus Soumilena, Muhammad Albagir, Ardiansyah Nur serta duo import Brazil, Henrique Da Cunha dan Diego Rodrigo.

Thai Son Nam turut mempertaruhkan pemain kebangsaan yang pernah merasai pengalaman beraksi di pentas Piala Dunia iaitu Ho Van Y, Nguyen Manh Dung dan Nguyen Minh Tri. Malah, kelab gergasi Vietnam ini sudah beberapa kali menghadapi kempen Kejuaraan Futsal Kelab AFC.

Bagaimanapun, keupayaan Pahang Rangers yang dibimbing Gerard Casas Ullestre juga tidak wajar dipandang sepi kerana skuad tersebut berada dalam mood terbaik susulan rekod cemerlang menang kesemua lima perlawanan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) setakat ini.

Kehadiran Matheus Augusto de Oliveira Gonzalez dan tonggak dari Iran, Amin Nasrollah Zadeh nyata amat membantu jentera serangan pasukan untuk merobek gawang lawan.

Persiapan untuk menghadapi saingan tersebut juga tampak berada dalam landasan terbaik selepas Pahang Rangers menumpaskan JDT 4-1 pada aksi persahabatan di Pasir Gudang, malam tadi.