Vietnam mengesahkan tempat ke saingan separuh akhir Kejuaraan Futsal AFF 2022 selepas berjaya menumpaskan Australia 5-1 pada aksi terakhir peringkat kumpulan yang berlangsung di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok sebentar tadi.

Kemenangan kedua yang diraih skuad kendalian Pham Minh Giang itu juga menyaksikan Australia tersingkir awal daripada persaingan sekali gus turut gagal untuk layak ke Kejuaraan Futsal AFC pada September ini.

Ini merupakan kali kedua berturut-turut Australia gagal untuk melepasi peringkat kumpulan selepas mereka kecewa pada edisi 2019 di Vietnam.

Vietnam yang mendominasi sebahagian besar permainan berusaha keras untuk membuka tirai jaringan dimana mereka melakukannya pada minit ke-13 menerusi Nguyen Thinh Phat.

Jaringan tersebut berpunca daripada kegagalan pemain Australia untuk mengeluarkan bola dari kawasan bahaya bagi membolehkan Thinh Phat meledakkan rembatan menggunakan kaki kiri untuk meletakkan Vietnam di hadapan.

Tran Thai Huy menjadikan kedudukan 2-0 ketika aksi babak pertama hanya tinggal beberapa saat untuk ditamatkan selepas rembatan beliau susulan kesilapan Jordan Guerreiro dalam kawasan sendiri menewaskan penjaga gol, Dylan Niski.

Memasuki babak kedua, Australia mendapat peluang untuk mengurangkan defisit jaringan selepas mereka dihadiahkan sepakan penalti berikutan kekasaran dilakukan penjaga gol Vietnam, Ho Van Y dalam kawasan D.

Daniel Fornito yang mengambil sepakan pada minit ke-27 tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan peluang tersebut.

Tidak mahu Australia semangat bersemangat untuk mendapatkan jaringan penyamaan, Vietnam memperkemaskan aksi dengan melancarkan lebih banyak serangan ke kubu lawan.

Kesempatan itu digunakan dengan cukup baik oleh Thinh Phat ketika perlawanan memasuki minit ke-34 untuk merekodkan jaringan ketiga perlawanan yang juga merupakan gol kedua peribadinya pada perlawanan ini.

Miles Downie yang tertekan dengan kelebihan dua gol dimiliki Vietnam membuatkan beliau memilih untuk menggunakan taktikal powerplay tetapi ia nyata memakan diri.

Hal ini kerana skuad futsal Vietnam menambah dua lagi jaringan menerusi Chau Doan Phat dan Nguyen Van Hieu berikutan kesilapan para pemain Australia ketika mempraktikkan taktikal berisiko tersebut untuk kemenangan yang sekali gus meletakkan mereka pada ketika ini di tangga teratas kumpulan B.

Kedudukan itu berkemungkinan berubah sekiranya sebuah lagi pasukan yang sudah melayakkan diri iaitu Myanmar berjaya menundukkan Timor Leste dengan jurang enam gol.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Kejuaraan Futsal AFF 2022:

Futsal AFF 2022: Indonesia Kental Bertahan Ikat Thailand

Futsal AFF 2022: Skuad Negara Kembali Bangkit, Belasah Brunei 10-0

Futsal AFF 2022: Vietnam Terlalu Unggul Buat Timor Leste