Vietnam jelas berada di kelas tersendiri apabila berjaya mencatatkan kemenangan mudah 7-1 ke atas Timor Leste pada aksi kedua Kejuaraan Futsal AFF 2022 yang berlangsung di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok sebentar tadi.

Vietnam yang merasai pengalaman beraksi dalam kempen Piala Dunia Futsal 2016 dan 2021 tampil dengan lebih baik terutamanya daripada aspek penyudah berbanding ketika mereka diikat Myanmar pada aksi semalam.

Ia jelas dibuktikan apabila Nguyen Thinh Phat membuka tirai jaringan seawal minit pertama selepas rembatannya dari sudut sukar tidak mampu dihalang penjaga gol Timor Leste, Jose Matamalai Lopes.

Vietnam terlepas peluang untuk menambah jaringan kedua pada minit ke-16 tetapi sepakan penalti kedua [10 meter] yang diambil Nguyen Minh Tri dinafikan dengan cemerlang oleh Matamalai.

Malah, keadaan itu jelas menyemarakkan lagi api perjuangan skuad Timor Leste yang kembali menyamakan kedudukan menerusi serangan balas pantas lalu disudahkan dengan tenang Cesario Selvano Barreto berselang seminit kemudian.

Vietnam bagaimanapun tidak mahu kedudukan terikat dalam tempoh lama apabila mereka sekali lagi di hadapan pada minit ke-19 susulan situasi sepakan sudut yang disudahkan dengan ledakan padu Tranh Thai Huy.

Seminit kemudian, Thinh Phat merekodkan jaringan kedua peribadinya pada perlawanan ini untuk melangkah masuk ke bilik persalinan dengan keputusan 3-1.

Dominasi Vietnam pada separuh masa kedua berterusan dan Timor Leste kelihatan agak bergelut untuk menyaingi kemampuan hebat skuad kendalian Pham Minh Giang itu.

Keadaan itu menyebabkan Vietnam menambah empat lagi jaringan menerusi dua gol daripada Nguyen Van Hieu serta masing-masing satu gol dihasilkan Le Quoc Nam, dan Nguyen Min Tri.

Dengan kemenangan mudah yang dilakarkan, skuad futsal Vietnam kini berada di tangga teratas dengan mengumpul empat mata, berkelebihan defisit jaringan berbanding pencabar terdekat, Myanmar.

Perlawanan terakhir esok kumpulan B menyaksikan Vietnam akan berhadapan Australia manakala Myanmar yang turut mencatat kemenangan akan membuat perhitungan dengan Timor Leste.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Kejuaraan Futsal AFF 2022:

Futsal AFF 2022: Myanmar Tampil Bergaya Tundukkan Australia

Futsal AFF 2022: Ambil Tanggungjawab Kekalahan, Chiew Chun Yong Tetap Berbangga Dengan Pemain

Futsal AFF 2022: Tunduk Kepada Indonesia, Misi Skuad Negara Ke Separuh Akhir Kian Kabur