Thailand terus membuktikan kehandalan apabila tidak berdepan masalah untuk membelasah Kemboja 16-0 pada aksi kedua Kejuaraan Futsal AFF 2022 yang berlangsung di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok sebentar tadi.

Segar dengan kemenangan 13-0 bertemu Brunei semalam, Thailand yang dibimbing Carlos Cesar Nunez Gago nyata tidak memberikan laluan mudah buat Kemboja pada perlawanan ini.

Lebih manis buat Thailand pada perlawanan ini dimana Muhammad Osamanmusa meledakkan empat jaringan manakala Peerapat Kaewwilai pula menjaringkan hatrik dalam membantu kemenangan kedua berturut-turut ini.

Diasak sejak dari awal permainan menyaksikan penjaga gol Kemboja, Chanveasna Phoeun bekerja keras untuk mengelak gawangnya daripada dibolosi susulan tiga percubaan berbahaya diledakkan Peerapat Kaewwilai dan Ronnachai Jungwongsuk.

Muhammad Osamanmusa cemerlang jaringkan empat gol. Kredit Foto: Thailand NT Official

Namun, kekentalan Chanveasna hanya mampu bertahan selama lima minit apabila peledak berbisa Thailand, Muhammad Osamanmusa berjaya membuka tirai jaringan dan menambah gol kedua berselang seminit kemudian.

Bagaikan sudah tidak dapat lagi dibendung oleh pasukan lawan, Thailand semakin bernafsu dengan menambah jaringan ketiga pada minit ketujuh menerusi ketua pasukan, Kritsada Wongkaeo.

Ronnachai menjadikan kedudukan 4-0 pada minit ke-12 selepas beliau menyempurnakan peluang susulan hantaran kemas dilakukan Osamanmusa. Kombinasi mantap kedua-dua pemain jelas kelihatan apabila giliran Ronnachai pula membuka ruang buat Osamanmusa untuk melengkapkan hatrik, juga pada minit ke-12.

Ronnachai dan Atsadawut Jangkot menutup aksi di babak pertama dengan masing-masing menambah satu jaringan untuk Thailand di hadapan dengan kedudukan 7-0.

Kelebihan besar yang dimiliki tersebut jelas tidak langsung membuatkan para pemain Thailand selesa. Ia dibuktikan apabila mereka menambah sembilan lagi jaringan pada separuh masa kedua untuk sekali lagi menamatkan permainan dengan jaringan dua digit.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Kejuaraan Futsal AFF 2022:

Futsal AFF 2022: Thailand ‘Makan Besar’ Di Laman Sendiri

Futsal AFF 2022: Indonesia Berkenduri Jaringan, Tambah Duka Brunei

Futsal AFF 2022: Malaysia ‘Berpeluh’ Sebelum Raih Kemenangan Ke Atas Kemboja