Gergasi rantau Asia, Thailand tidak berdepan masalah untuk meraih kemenangan sulung dalam kempen Kejuaraan Futsal AFF 2022 apabila berjaya membelasah Brunei 13-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok sebentar tadi.

Pertembungan yang boleh diibaratkan sebagai antara langit dengan bumi itu memperlihatkan penguasaan penuh dijelmakan skuad kendalian Carlos Cesar Nunez Gago tersebut sejak dari awal permainan.

Ia jelas dibuktikan selepas Krit Aransanyalak memulakan pesta jaringan itu dengan jaringan seawal minit pertama setelah pemain Free Fire Chonburi Bluewave itu mudah menyempurnakan peluang susulan lorongan baik dilakukan Ronnachai Jungwongsuk.

Juara 15 kali saingan itu terus menggandakan kedudukan dengan jaringan kedua yang dihasilkan oleh Panut Kittipanuwong dimana jaringan tersebut terhasil daripada gerakan serangan balas pantas.

Kredit Foto: ASEAN Football

Ketua pasukan, Kritsada Wongkaeo menjadikan kedudukan 3-0 ketika perlawanan memasuki minit ke-10 selepas rembatannya dari luar kawasan D melepasi jangkauan penjaga gol, Muhammad Nabil Haji Maidin.

Berselang empat minit kemudian, giliran Apiwat Chamcharoen pula meletakkan nama selaku penjaring apabila beliau memperagakan kualiti baik dengan melepasi kawalan pemain Brunei dan kemudiannya melepaskan rembatan untuk gol keempat buat Thailand.

Tidak sampai seminit jaringan keempat terhasil, percubaan Apiwat dinafikan Muhammad Nabil lalu bola terkena badan Muhd Abd Khaaliq yang kemudiannya bergolek masuk ke gawang sendiri.

Peerapat Kaewwilai menamatkan aksi babak pertama dengan kedudukan 6-0 selepas kawalan baiknya disusuli dengan rembatan kaki kiri yang terus mengecewakan Muhammad Nabil pada minit ke-17.

Meskipun sudah memiliki kelebihan besar pada 20 minit pertama, ia jelas tidak menjadi penghalang buat skuad futsal Thailand untuk menambah tujuh lagi jaringan menerusi Ronnachai, Muhammad Aiman Amin [gol sendiri], Peerapat serta dua gol masing-masing dihasilkan oleh Muhammad Osamanmusa dan Kritsada [melengkapkan hatrik] bagi mengesahkan kemenangan bergaya buat pasukan tuan rumah.