Skuad negara kembali menemui sentuhan kemenangan apabila berjaya menundukkan Brunei 10-0 pada aksi ketiga saingan kumpulan A Kejuaraan Futsal AFF 2022 yang berlangsung di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok sebentar tadi.

Kemenangan kedua daripada tiga perlawanan itu bagaimanapun tidak mengubah kedudukan skuad negara di tangga ketiga meskipun terikat enam mata bersama Thailand dan Indonesia yang akan bertemu sesama sendiri selepas aksi ini.

Memberikan tekanan ke kubu Brunei sejak dari awal permainan, skuad negara berjaya membuka jaringan pada minit kelapan menerusi Muhammad Ekmal Shahrin.

Ekmal yang merupakan penjaring terbanyak Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2022 itu dengan tenang menolak masuk bola hasil lorongan baik dalam kawasan D dilakukan Muhammad Farhan Khairul Anuar.

Kedudukan berubah berselang 10 minit kemudian selepas percubaan daripada Abu Haniffa Hassan membias terkena Jumatatulaleshahrezan Metali yang sekali gus memperdayakan penjaga gol Brunei, Ak Md Asadullah Shafee.

Kredit Foto: FAM

Corak permainan skuad negara pada babak kedua jelas begitu meyakinkan selepas Khairul Effendy Bahrin dan rakan sepasukannya menambah lapan lagi jaringan.

Mohamad Sufri Shamil mengukuhkan lagi kedudukan dengan menambah dua jaringan dalam tempoh dua minit [minit ke-21 dan 22] sebaik sahaja aksi babak kedua bermula.

Pemain Brunei turut mendapat beberapa peluang terbaik untuk mendapatkan jaringan tetapi kekentalan Syawal Sabaruddin di gawang skuad negara menggagalkan usaha mereka.

Tidak cukup dengan kelebihan dimiliki, barisan pemain negara terus bernafsu untuk mendapatkan jaringan dimana usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-33 hasil rembatan kaki kiri padu Farhan Khairul Anuar.

Tidak sampai seminit, Abu Haniffa pula bijak menyempurnakan sepakan percuma dan kemudiannya Ekmal menjaringkan gol kedua peribadinya pada perlawanan ini hasil rembatan padu ketika situasi bola mati.

Selepas itu, Joshua Lee mencetak dua jaringan dan Aidil Shahril Rosli menutup pesta jaringan skuad futsal negara bagi mengesahkan kemenangan 10-0 sekali gus sedikit mengubati kehampaan tewas pada aksi semalam.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Kejuaraan Futsal AFF 2022:

Futsal AFF 2022: Vietnam Terlalu Unggul Buat Timor Leste

Futsal AFF 2022: Myanmar Tampil Bergaya Tundukkan Australia

Futsal AFF 2022: Ambil Tanggungjawab Kekalahan, Chiew Chun Yong Tetap Berbangga Dengan Pemain